Aktiviti Penggabungan dan Pengambilalihan jadi tumpuan 2011

KUALA LUMPUR: Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A) menjadi tema penting dan aktiviti semakin popular dalam dunia perniagaan melangkah ke tahun 2011.

Sebanyak RM122 bilion diurusniagakan pada 2010, walaupun gesaan supaya peraturan diseragamkan dan lebih banyak penjualan ekuiti dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dilakukan.

"Sungguhpun jumlah urusniaga jatuh 30% berbanding dengan 2009 tetapi dari segi nilai adalah lebih tinggi berbanding RM38 bilion yang dicatat pada 2009," kata ketua ekonomis RAM Ratings Dr Yeah Kim Leng.

"Oleh itu, 2010 lebih hampir kepada tahap normal aktiviti M&A di negara ini, yang berada di puncak pada 2007 dengan urusniaga bernilai RM146 bilion.

"Kita akan menyaksikan kegiatan M&A yang lebih rancak di negara ini berikutan pemulihan ekonomi," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara.

PLUS Expressway

Kebanyakan aktiviti M&A dapat dilihat berlaku dalam separuh masa kedua tahun ini. Yang selalu disebut-sebut ialah PLUS Expressway, syarikat operasi tol lebuhraya terbesar di Asia Tenggara.

PLUS menerima tawaran bersama yang disemak semula daripada Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan UEM Berhad (UEM) untuk membeli kesemua aset dan tanggungan syarikat itu dengan nilai RM23 bilion.

Cadangan pengambilalihan itu melibatkan pembayaran tunai RM11 bilion kepada pemegang saham minoriti dan bakinya RM12 bilion kepada Khazanah Nasional Bhd, UEM dan KWSP.

Enam syarikat hartanah yang besar menyertai aktiviti M&A ini, bagi mencipta tiga syarikat gergasi hartanah. UEM Land Bhd memulakan langkah ini dengan cadangan pengambilalihan Sunrise Bhd, kedua IJM Land Bhd dan Malaysian Resources Corp Bhd dan ketiga ialah penggabungan di antara Sunway Holdings Bhd dan Sunway City Bhd.

Satu lagi urusan M&A yang dijangka selesai pada 2011 ialah Hong Leong Bank Bhd untuk membeli aset dan tanggungan EON Capital Bhd dengan nilai RM5.06 bilion.

Yeah berkata di antara sektor yang akan menyaksikan aktiviti M&A digiatkan tahun depan ialah sub-sektor elektrikal dan elektronik, syarikat-syarikat berasaskan pertanian, perladangan, hartanah, logam dan industri kimia serta automobil.

No comments

Powered by Blogger.