WikiLeaks: AS sekat akses 25 laman termasuk New York Times, Guardian

WASHINGTON, 15 Dis — Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) telah menyekat akses kepada The New York Times, Guardian dan sekurang-kurangnya 23 laman web lain yang menyiarkan pendedahan WikiLeaks menggunakan rangkaiannya.

Jurucakap Tentera Udara AS di pangkalan Colorado, Major Toni Tones berkata, halangan itu membabitkan sekurang-kurangnya 25 laman yang pernah membawa dokumen WikiLeaks baru-baru ini.

Tentera Udara dari semasa ke semasa akan mengenakan sekatan akses ke atas laman-laman yang menyiarkan bahan-bahan yang tidak sesuai ataupun menyalurkan perisian yang boleh memudaratkan.

Oleh itu sekatan ini merangkumi laman-laman web yang membawa dokumen didedahkan oleh WikiLeaks, kata Tones.

WikiLeaks dalam siri pendedahannya telah mengeluarkan 250,000 kabel diplomatik yang dikumpulkan oleh Jabatan Negara AS bulan lalu.

Kira-kira 1,000 kabel itu membabitkan Malaysia, yang turut disiarkan oleh akhbar di Australia.

Laporan terdahulu dari London pula menyebut, pengasas WikiLeaks Julian Assange, yang ditahan Britain ekoran dakwaan jenayah seks oleh kerajaan Sweden, telah dibebaskan dengan diikat jamin oleh mahkamah semalam.

Hakim Howard Riddle membenarkan dia diikat jamin sehingga kesnya didengar pada 11 Januari depan.

Assange menafikan dakwaan-dakwaan itu dan kini melawan usaha Sweden yang mengesktradisikan beliau. — Reuters

No comments

Powered by Blogger.