Akim adakan AGM pagi ini, harap Zaid bawa era baru

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mengadakan mesyuarat tahunan di Lembah Klang pagi ini dengan harapan Datuk Zaid Ibrahim akan membawa parti itu ke era baru dalam landskap politik Malaysia.

Menurut Presiden Akim Zakaria Salleh, perhimpunan agung kali ini akan memberi tumpuan ke arah memperkuatkan parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Zaid dipercayai menyertai Akim, parti yang berpejabat di Kelantan, dalam usaha menerajui sebuah parti baru selepas meninggalkan PKR bulan lalu.

“Jadi mesyuarat kita esok (hari ini) adalah untuk memilih barisan kepimpinan baru untuk memperkuatkan parti dalam menghadapi pilihan raya umum.

“Kita perlukan sokongan semua barisan kepimpinan, semua ahli termasuk Datuk Zaid untuk melakukan perubahan yang besar kepada landskap politik negara.

“Saya juga percaya Akim selepas ini akan menjadi persaingan kepada PAS dan Umno, dengan kemunculan Datuk Zaid saya rasa beliau boleh gunakan kelebihan, kekuatan dan pengalaman untuk membantu parti menjadi sebuah parti yang kuat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kelmarin, Zakaria mengesahkan Zaid yang juga bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu secara rasmi sudah menjadi ahli parti itu, berkuat kuasa pertengahan bulan lalu.

Beliau berkata, Zaid telah menyerahkan borang keahlian Akim selepas keluar daripada PKR pada 19 November lalu.

Zaid sebelum ini telah menerima notis keluar PKR pada 19 November lalu walaupun pernah mengumumkan akan keluar parti itu pada 16 Disember ini.

Malah, Zakaria juga sebelum ini berkata beliau akan memberikan laluan kepada Zaid sekiranya beliau mahu bertanding bagi jawatan presiden Akim.

Zakaria juga berkata akan memberikan sokongan yang penuh sekiranya Zaid menerajui parti itu.

Tambah Zakaria, tindakan ahli parti itu keluar daripada PAS lalu menubuhkan Akim adalah satu keputusan bijak selepas mendapati parti Islam itu mula “menyelewengan” daripada perjuangan asalnya.

“Memang daripada awal Akim ini adalah parti serpihan PAS, kita keluar daripada PAS kerana tidak boleh terima PAS kerana memutarbelitkan politik dan hal-hal agama yang akhirnya merosakkan akidah rakyat.

“Sebab itu kita keluar PAS dan tubuhkan parti baru untuk melakukan perubahan.

“Malah perjuangan kita juga berbeza daripada PAS dan Umno, jika PAS perjuangkan Islam, Umno perjuangkan Melayu tetapi kita tidak kerana kita perjuangkan Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada PAS dan Umno bahawa parti itu akan memberikan saingan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Kita adakan mesyuarat kali ini di sebalik desakan pemimpin akar umbi yang mahu melihat Akim bersaing di peringkat nasional, supaya kita mempunyai hala tuju yang jelas selain menjadi pesaing kepada parti-parti lain terutamanya PAS dan Umno,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.