"Gugur saman malu" – kata Ng kepada Khir

Oleh Rahmah Ghazali

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim mahu bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo menggugurkan saman malu terhadap beliau kerana mendedahkan penyelewengan tanah hingga menyebabkan beliau didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ng berkata, tindakan undang-undang hari ini oleh SPRM yang semakin lama dinanti-nanti memberi isyarat bahawa Khir berbelanja besar untuk membina mansion bertema Bali di Seksyen 7, Shah Alam dan harga yang dibayar untuk tanah berkenaan bukanlah dakwaan kosong semata-mata.

"Saman malu terhadap saya harus digugurkan kerana dengan tuduhan dan penahanan beliau terbukti tuduhan itu bukannya tidak berasas.

"Walaupun beliau mempunyai hak untuk meneruskan tindakan saman, saya fikir beliau telah kehilangan kuasa politik untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap saya," kata Ng apabila dihubungi FMT semalam.

Ng menerima notis saman daripada pasukan undang-undang Khir tahun lalu apabila beliau mendakwa Khir membina mansion pada harga RM20 juta dan membeli tanah pada harga RM3.8 juta ketika beliau menjadi menteri besar. Ini menimbulkan tanda tanya bagaimana beliau mampu berdasarkan gaji sebagai seorang menteri besar.

khir beria-ia menafikan dakwaan tersebut dan berkata, beliau membuat pinjaman RM3.5 juta dari sebuah bank antarabangsa untuk membeli hartanah itu dan menolak tuduhan hartanah itu berharga RM24 juta.

Beliau juga mendakwa beliau mampu membeli mansion berkenaan berdasarkan sumber pendapatan perniagaannya sebagai seorang doktor gigi.

Apabila ditanya sama ada usahanya untuk membawa Khir ke muka pengadilan mendatangkan hasil, Ng berkata, beliau tidak berpuas hati kerana SPRM lambat bertindak terhadap menteri besar itu.

"Ia mengambil masa setahun lima bulan untuk akhirnya beliau didakwa di mahkamah. Bagaimanapun, saya rasa lega dan mengalu-alukan langkah ini walaupun terlalu perlahan, kata Ng, menambah SPRM sepatutnya bertindak cepat apabila beliau mendedahkan perkara ini pada Julai tahun lepas.

Masa depannya sebagai ahli politik tidak menentu

khirKhir ditahan di pejabatnya di Shah Alam jam 9.00 pagi semalam dan kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau didakwa melakukan penyelewengan dalam urusan tanah untuk tujuan membina mansion, manakala pengarah syarikat pemaju Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Haryoni didakwa kerana bersubahat.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah di depan hakim Mahkamah Sesyen yang menetapkan ikat jamin RM750,000 dan membenarkan pihak pendakwaraya memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Khir didakwa mendapatkan untuk dirinya sendiri, isterinya Zahrah Kechik, dua bidang tanah dan rumah beralamat No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam dari Ditamas melalui Shamsuddin pada harga RM3.5 juta sedangkan lot-lot itu dibeli oleh Ditamas dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Adun Sungai Panjang dan ketua pembangkang Selangor itu didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan, masa depannya sebagai ahli politik menjadi tanda tanya kerana beliau mungkin tidak layak bertanding dalam pilihan raya akan datang, yang diramalkan tidak lama lagi, melainkan kes itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Ng berkata ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya umum akan datang apabila ditanya tentang hal ini.

"Perdana Menteri Najib Tun Razak mahu membersihkan imej Barisan Nasional yang tercemar dan boleh jadi sebagai satu helah untuk mengalihkan pandangan rakyat dari kenaikan harga barang keperluan baru-baru ini.

"Sebab itu, langkah ini dilihat perlu untuk membuat rakyat gembira buat seketika," ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.