Jika perasaan berdendam masih menjadi darah daging

Azmi Anuar


Membaca rencana di New Straits Times (Disember 16) tentang seorang imam dan paderi dari Nigeria yang pada mulanya bermusuh dan kemudian berkawan rapat menimbulkan persoalan kenapa konflik agama dan bangsa masih berleluasa di serata dunia. Kisah peribadi mereka menjadi contoh bagaimana perdamaian boleh tercapai.

Imam Ashafa mengatakan, “Jika kita mahu keamanan, kita tidak berperang”. Kenyataan yang mudah diungkap tetapi sukar sekali dilaksanakan.

Setiap orang mahu mempertahankan hak masing-masing dari perkara yang sekecil-kecilnya sehinggalah yang merangkumi persekitarannya. Didikan ibu bapa semenjak kecil lagi tentang perbezaan di antara apa yang menjadi milik kita dan orang lain akan dibawa ke alam dewasa. Misalnya kanak-kanak sering mahu memonopoli sesuatu barang permainan ketika bersama-sama rakan-rakan yang lain. Apabila ada permintaan untuk berkongsi bersama, timbullah perasaan tidak senang hati terhadap si peminta melainkan kanak-kanak tadi telah disaran atau dipujuk berbuat demikian. Ada ketikanya, pemilik barang permainan itu tidak mahu bertolak ansur dan pergaduhan mungkin terjadi.

Perkara yang sama terjadi di kalangan orang dewasa.

Memanglah tidak semua milik kita boleh dikongsi bersama tetapi perlukah bergaduh kerananya? Pergaduhan jalan mudah bagi sesetengah orang untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Siapa yang kuat dialah yang menang. Tidak semestinya yang kuat itu pihak yang benar tetapi jika undang-undang dan tata susila peradaban tidak digunakan, pihak yang kuat sahajalah yang akan memenangi setiap perselisihan pendapat.

Mencari titik pertemuan supaya semua yang terlibat mendapat keuntungan seharusnya diutamakan dan pendekatan inilah yang boleh mengelakkan tercetusnya perbalahan, pergaduhan dan kemungkinan juga peperangan.

Perasaan seseorang ada kalanya terluka akibat tindakan orang lain. Kadang-kadang tersemat pula perasaan berdendam terhadap mereka yang menyakiti kita. Perasaan berdendam boleh timbul misalnya dalam sesuatu konflik di antara kaum yang berbeza yang kadang-kadang melibatkan korban nyawa atau penganiayaan terhadap diri seseorang atau keluarganya. Mereka yang masih hidup dan berjaya mengharungi konflik seperti itu akan sentiasa teringat apa yang dialami dan walaupun luka itu sembuh, parutnya tetap tersemat di hati. Inilah yang perlu ditangani.

Memahami sudut pandangan pihak lain

Berdendam dan ingatan tentang peristiwa masa lampau yang membakar diri sendiri pasti tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada sesiapa. Berdendam memang mudah sehinggakan Paderi Waye mengakui bahawa dia sendiri mengambil masa tiga tahun mengatasi perasaan yang berkecamuk di hatinya. Pada ketika mula bersama-sama Imam Ashafa membentuk Pusat Pengantaraan Antara Agama pada tahun 1995, perasaan Paderi Waye masih kucar-kacir sehinggakan ada ketikanya dia mahu membunuh Imam Ashafa ketika Imam Ashafa sedang tidur.

Begitu kuat perasaan berdendam. Memang tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan jika perasaan berdendam masih menjadi darah daging seseorang yang telah melalui segala haru-biru peperangan atau penganiayaan. Jalan paling mudah mengatasinya ialah dengan meluahkan perasaan tadi, berhubung dengan yang lain dan memaafkan. Mudah? Tidak sekali-sekali.

Usaha yang lebih diperlukan malah mesti sentiasa diteliti semula keberkesanannya. Jika seorang paderi mengambil masa tiga tahun mengatasi perasaan dendamnya, apatah lagi orang biasa. Mungkin paderi itu telah melalui babak-babak hidup ketika peperangan berlaku yang begitu menyakitkan, menyayat hati, melukakan perasaan dan meruntun jiwanya. Dia bertatih seperti anak-anak yang baru belajar berjalan. Merangkak, bangun, jatuh, duduk semula, mencapai sesuatu sebagai sokongan dan terus berusaha kerana matlamatnya ialah hendak berjalan. Apabila berjaya berjalan tentulah destinasi yang hendak dituju kelihatan lebih hampir dan mudah.

Begitu jugalah dengan sesiapa yang benar-benar mahukan keamanan. Tidak ada sesiapa yang berkata usaha ke arah itu mudah, ringkas atau cepat. Setiap tapak ke hadapan memang boleh dianggap satu kejayaan yang besar dan yang berjaya mesti diberi pujian serta sokongan supaya maju setapak lagi.

Kerap juga jalan itu terhalang dan terpaksa pula berundur ke belakang buat seketika. Pengunduran itu tidak boleh diberi masa menetap lama kerana jika dibiarkan, destinasi yang dituju tidak akan kunjung tiba. Ketika inilah pendekatan yang berlainan pula harus difikirkan dan cuba diusahakan. Matlamat masih yang sama, menuju keamanan.

Paderi Waye berkata lagi bahawa dia melatih begitu ramai anak muda membenci pihak lawan iaitu mereka yang berlainan agama. Kalaulah dia bertemu dengan Imam Ashafa lama sebelum itu pasti sudah terjalan perhubungan di antara mereka. Perhubungan dua hala memainkan peranan yang penting dalam menjernihkan suasana. Kalau tidak bercakap dan bermasam muka, tentu masing-masing tidak tahu apa yang sedang difikirkan dan kesimpulan serta keputusan yang diambil oleh pihak yang lagi satu.

Sebelum sesuatu isu meletus menjadi konflik yang boleh membawa perpecahan, berhubunglah supaya masing-masing boleh mendengar, mengamati dan meneliti segala hujah atau alasan.

Banyak faedah terhasil apabila perasaan berdendam dan benci hilang. Bukan sahaja tekanan darah berkurang dan kesihatan badan bertambah baik tetapi ada kesan sampingan yang lain. Timbullah pula sifat berbaik-baik bukan sahaja di kalangan ahli keluarga sendiri malah menjangkau kepada jiran-jiran dan rakan-rakan.

Tekanan perasaan dalam hidup seharian pasti berkurangan dan diri yang baru ini lebih bertenaga dan bermotivasi untuk maju seterusnya. Kejayaan dan kemajuan yang dikecapi seseorang yang telah berjaya mengatasi perasaan berdendam yang terbuku selama ini dalam dirinya, mempunyai kesan yang bertali-arus pula kepada masyarakat sekeliling.

Kalau seorang imam dan paderi boleh berbaik-baik dan bekerjasama mencari jalan perdamaian, tentu yang lain juga boleh berbuat demikian. Seorang paderi dan imam sekali pandang adalah dari dua dunia yang amat berbeza.

Padanlah perbalahan dan peperangan terjadi kerana banyak sangat perbezaan di antara kedua-dua pegangan dan falsafah. Itu kalau hendak dilihat dari segi perbezaan. Cuba lihat persamaannya. Kedua-duanya mahukan perdamaian. Itu titik permulaan. Seterusnya berusaha dan terus berusaha mencapai matlamat tersebut. Usaha itu pula mesti dipupuk dan dijaga dengan baik supaya tidak mati di tengah jalan. Perhubungan dua hala mesti sentiasa terbuka.

Tentu lega apabila semua berdamai dan anak-anak membesar tanpa konflik perbezaan bangsa atau agama. Usaha mencapai kedamaian mesti diteruskan sehingga berhasil kerana masa depan anak-anak itu bergantung kepada kejayaannya. Merekalah yang akan mewarisi dunia ini. Hidup aman damai.

No comments

Powered by Blogger.