Kerugian MAS: SPRM temui bukti baru kes Tajuddin. MB Nik Aziz Bebas Tuduhan Rasuah

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, 15 Dis — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan wujudnya bukti baru dalam siasatan kes melibatkan Tan Sri Tajuddin Ramli.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata, siasatan rasuah yang melibatkan bekas pengerusi eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) itu masih berjalan, namun menolak untuk menghuraikan lebih lanjut.

“SPRM masih lagi menyiasat (kes) Tan Sri Tajuddin Ramli berhubung dakwaan rasuah.

“Terdapat bukti baru bagi kes Tajuddin Ramli, tetapi kita tidak boleh dedahkan apa-apa butiran. Terdapat saksi-saksi baru, tetapi dengan semua kes rasuah ini, ia hanya boleh disiasat jika saksi tampil ke hadapan,” kata Hadenan pada sidang media hari ini.

MAS mengalami kerugian sehingga RM8 bilion ketika Tajuddin menjadi pengerusi eksekutif yang mana terdapat laporan pernah dibuat terhadap beliau.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang juga berada dalam jawatankuasa khas SPRM mendakwa agensi kerajaan itu tidak mengambil berat terhadap kes itu.

“Saya tidak boleh lupa isu MAS yang telah saya laporkan kepada SPRM, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Pengerusi Jawatankuasa Khas SPRM yang sehingga kini masih tiada lagi sebarang respon yang diterima.

“Jika mengikut prosedur ia hairan, kenapa tiada perkembangan dalam kes ini? Lihat kes PKFZ, lima tahun baru kita dapat bawa penjenayah yang terlibat, begitu juga kes (Datuk Seri) Khir Toyo,” katanya kepada The Malaysian Insider kelmarin.

Hadenan bagaimanapun menafikan tuduhan bahawa badan antirasuah itu tidak mempunyai kuasa ketika menyiasat kes-kes yang berprofil tinggi.

“Ada dakwaan mengatakan SPRM tidak menyiasat kes (Tajuddin Ramli)... siasatan masih berjalan,” katanya.

Laporan polis pertama terhadap Tajuddin pada 2002 kerana dipercayai menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian lebih RM8 bilion.

Tajuddin menerajui MAS dari 1994 hingga 2001.

Berdasarkan laporan yang dibuat kepada SPRM, kerugian utama yang direkodkan di bawah Tajuddin ia petempatan semula operasi kargo MAS di Amsterdam dan Frankfurt sebagai satu hab tunggal di Hahn, Jerman yang mana syarikat penerbangan dipaksa menyertai kontrak pesawat yang merugikan dengan sebuah syarikat, didakwa mempunyai kaitan dengan keluarga Tajuddin.

Operasi hab kargo baru itu menyebabkan MAS menanggung kerugian antara RM10 juta dan RM16 juta sebulan sebelum projek itu dihentikan selepas kerajaan mengambil alih pengurusan MAS pada 2001.

Laporan kepada SPRM bertarikh Mei 2009 mendakwa Jabatan Peguam Negara enggan mendakwa Tajuddin walaupun ketua CCID ketika itu Datuk Ramli Yusoff memberi jaminan pada 2007 bahawa ia ada menemui kesalahan-kesalahan yang boleh dibuktikan.

Malah laporan itu mendakwa Tajuddin diberikan akses kepada rekod-rekod siasatan dan polis yang kemudian digunakan untuk dakwaan proses artibrasi.

Pada sidang media itu, Hadenan juga berkata, semua tuduhan rasuah terhadap Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digugurkan.

SPRM sebelum ini menyiasat Nik Aziz berhubung dakwaan “menaja” sebanyak RM65,000 untuk jemaah haji tahun lepas.

Badan itu turut menjalankan siasatan berhubung salah guna kuasa terhadap Nik Aziz apabila melantik menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai CEO PMBK - sebuah agensi kerajaan Kelantan.

“Peguam Negara mendapati tidak ada tuduhan yang dibuat, Nik Aziz juga tidak pernah menaja perjalanan jemaah Haji ke Mekah tahun lepas.

“Peguam Negara juga mendapati pelantikan Abdul Ariffahmi sebagai CEO adalah untuk mengubah nama jawatan dan MB mempunyai kuasa penuh untuk melantik (pegawai),” kata Hadenan.

Beliau bagaimanapun berkata siasatan SPRM juga telah menemui kelemahan-kelemahan dalam pelantikan pegawai tinggi kerajaan yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

“PPO berpendapat SPRM perlu untuk menasihati semua kerajaan negeri supaya memperbaiki sistem pentadbiran untuk mengelak mana-mana konflik kepentingan,” katanya.

Beliau juga berkata, Peguam Negara tidak akan membuat sebarang pendakwaan terhadap Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong atas aduan-aduan yang mengatakan beliau gagal untuk mengisytiharkan dirinya sebagai pengarah sebuah syarikat dan mempunyai pegangan bersama.

“Jabatan Peguam telah memutuskan tidak ada pendakwaan terhadap Datuk Wee Ka Siong kerana beliau telah pun melepaskan jawatannya sebagai pengarah syarikat. “Beliau juga mengisytiharkan aset-asetnya kepada perdana menteri,” tambah Hadenan.

No comments

Powered by Blogger.