WikiLeaks: Sivarasa, Azmin dibuang Parlimen

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Pemimpin PKR dikenakan hukuman buang Parlimen satu hari ekoran tindakannya mempersoalkan kuasa dan keputusan Speaker menolak usul berkaitan WikiLeaks di Dewan Rakyat, hari ini.

R. Sivarasa, Ahli Parlimen Subang, membentangkan satu usul menggesa Dewan Rakyat mengenakan tekanan ke atas Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) agar mendedahkan kesemua kabel diplomatik membabitkan Malaysia ekoran pendedahan laman web WikiLeaks.

Langkah itu menyebabkan hujah antara Sivarasa dan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sekali gus membawa kepada tindakan mengeluarkan Sivarasa dari Dewan Rakyat sehingga esok.

Esok merupakan hari terakhir Dewan Rakyat bersidang.

Sivarasa berkata laporan yang diterbitkan membawa dakwaan serius mengenai dua pemimpin tertinggi negara – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan oleh itu harus diperjelaskan dengan segera.

Wakil rakyat itu berkata oleh kerana kabel-kabel terbabit, yang dibocorkan oleh laman wen WikiLekas tidak boleh dikesan, rakyat Malaysia tidak boleh menilai laporan berita akhbar Sydney Morning Herald.

Agensi berita ada menulis mengenai kabel-kabel yang didedahkan, yang diperoleh oleh WikiLeaks dan dibekalkan secara eksklusif kepada mereka, menyentuh perbincangan antara pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat dan rakan sejawatan mereka dari Singapura, Peter Ho, Bilahari Kausikan dan Tommy Koh.

Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali juga dikeluarkan dari Dewan Rakyat apabila beliau bangun dan mencabar penggantungan Sivarasa sehingga esok.

Malah Azmin juga mengkritik Speaker alasan beliau turut dimasukkan dalam usul digantung, yang turut membabitkan Sivarasa dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh.

“Sila memberitahu saya mengapa mengarahkan saya keluar? Apa yang telah lakukan?” kata beliau sebelum keluar.

Bagaimanapun Azmin hanya digantung sehingga pukul 2.30 petang tadi.

Semalam, Singapura berkata aduan yang dibangkitkan oleh Malaysia tentang apa yang WikiLekas dakwa telah disebut oleh pegawai-pegawai kanannya tidak menyamai rekodnya sendiri.

Menteri Luar Singapura, George Yeo berkata “satu perjumpaan yang dimaksudkan” itu tidak pun mengambil tempat.”

Beliau berkata demikian selepas notis bantahan Malaysia yang dikemukakan kepada Singapura pagi semalam, mengenai laporan media berhubung laporan kabel kedutaan Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh WikiLeaks.

Kementerian Luar Singapura turut mengesahkan bahawa Pesuruhjaya Tingginya di Kuala Lumpur, T. Jasudasen telah dipanggil bertemu Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman pagi tadi.

Namun menurut kementerian tersebut, Yeoh telah menghubungi Anifah kemudiannya “untuk menjelaskan polisi Singapura yang tidak mengulas mengenai kebocoran.”

Ia menambah bahawa Yeo dan Anifah bersetuju tentang kepentingan hubungan dua hala yang baik dan mengukuhkan lagi kerjasama.

WikiLeaks pada Ahad mengeluarkan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008 yang memuat kenyataan yang menyinggung kepimpinan Malaysia dan keadaan di Malaysia.

Ia turut melaporkan kenyataan yang dibuat oleh pegawai-pegawai kanan Singapura yang merendah-rendahkan Thailand, Jepun dan India semasa perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

No comments

Powered by Blogger.