Parlimen usul gantung tiga MP Pakatan enam bulan

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Satu usul untuk menggantung tiga wakil rakyat pembangkang atas dakwaan menghina dewan tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini.

Usul oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz itu mencadangkan supaya tiga anggota Parlimen itu iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) digantung enam bulan daripada tugas atas beberapa kesalahan.

Menurut usul itu, Karpal dan Sivarasa yang merupakan anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen didapati menghina dewan kerana telah membuat kenyataan di luar Dewan berkenaan prosiding Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa mesyuarat pada 3 Disember 2010.

Karpal dan Sivarasa dikatakan telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh sesiapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis (Dewan Rakyat).

Berdasarkan usul itu juga Azmin, melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Disember 2010 di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010.

Tindakan ketiga-tiga anggota Parlimen itu adalah satu perbuatan menghina dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai anggota Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan, demikian menurut usul berkenaan.

Usul yang dikemukakan itu mempunyai kaitan dengan keputusan kerajaan untuk merujuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana kenyataannya untuk mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Jawatankuasa berkenaan semalam telah mengemukakan syor supaya Anwar digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana didapati membuat kenyataan tidak benar. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.