Kg Teluk Kumbar: Guan Eng persoal motif KL Metro

Oleh Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 16 Dis — Lim Guan Eng hairan dengan tindakan KL Metro Land Development Sdn Bhd yang didakwa begitu tergesa-gesa mahu meroboh rumah di Kampung Teluk Kumbar, Pulau Pinang tanpa perundingan susulan dengan penduduk terbabit.

Bahkan, pemaju turut dipersoal kerana memaksa, mengancam dan mengugut penduduk terbabit supaya berpindah keluar dari kampung tersebut tanpa meneruskan jalan perbincangan yang baik.

“Usaha meroboh rumah Kampung Teluk Kumbar oleh pemilik tanah KL Metro Land Development menimbulkan soalan sama ada ia adalah syarikat pemaju yang tulen dan bukannya bermotif lain untuk sengaja mahu menyusahkan rakyat dan kerajaan negeri.

“Syarikat pemaju masih beria-ria nak teruskan tindakan dan menakutkan penduduk akan datang minggu depan. Adakah ini tingkah laku seorang peniaga yang waras?” kata Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kelmarin, Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman berkata, kerajaan DAP Pulau Pinang memberi amaran kepada pemaju KL Metro supaya tidak mengambil tindakan meroboh rumah-rumah di Kampung Pekan Teluk Kumbar kerana ia masih dalam proses rundingan.

Kata beliau, kerajaan negeri bersedia untuk mewakili penduduk kampung tersebut untuk berbincang dengan pemaju.

“Berikutan desas-desus yang menyatakan pemaju akan meroboh kampung tersebut pada Isnin depan, kami ingin memberi amaran kepada pemaju supaya jangan bertindak untuk meroboh kampung tersebut kerana ianya masih dalam proses rundingan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap masalah yang membabitkan 15 keluarga di atas tanah seluas lebih kurang empat hektar (10 ekar) itu dapat diselesaikan sebelum akhir Januari tahun depan.

“Kami ingin mengadakan perbincangan dengan pemaju bagi menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Pada 12 November lalu, kesemua penduduk telah mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah keputusan pemaju setelah Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis pengosongan kediaman tersebut berkuat kuasa 1 November bagi memberi laluan kepada projek pembinaan hotel.

Bercakap di depan 50 penduduk terbabit di Komtar semalam, Lim turut mempersoal kedegilan pemaju yang tergesa-gesa mahu tanah tersebut dikosongkan tersebut walaupun setelah dinasihat oleh kerajaan negeri serta masih tidak mendapatkan pelan kebenaran merancang pembangunan daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sejak setahun yang lalu.

Walaupun pemaju telah mengumumkan rancangan membina hotel di kawasan tersebut sebelum ini, kata Lim, pengumuman tersebut adalah tidak memadai untuk mengusir penduduk terbabit.

“Tidakkah syarikat ini bimbang bahawa permohonan mereka berkemungkinan tidak akan diluluskan sekiranya ia terus berdegil tidak pedulikan kerajaan negeri.

“Sekiranya syarikat ini mahu teruskan pembangunan, maka ia harus dapat pelan kebenaran merancang dan adalah jelas bahawa tidak ada sebarang pelan kebenaran merancang diluluskan oleh MPPP,” ujarnya.

Lim yang juga Setiausaha DAP Kebangsaan berkata, walaupun pemaju itu mendapat perintah mahkamah, mereka juga mendapat kebenaran MPPP untuk merobohkan kediaman-kediaman di kampung tersebut.

Sehubungan itu Lim berkata, pihaknya bersedia menunggu Pengerusi KL Metro Datuk Mat Hassan Esa untuk datang berjumpa dan membincangkan perkara ini dengan kerajaan negeri.

No comments

Powered by Blogger.