Khalid : Perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1432
SHAH ALAM, 6 Dis – Ketibaan 1 Muharam 1432 Hijrah menandakan detik mula tahun baru bagi umat Islam seluruh dunia. Sebagaimana kebiasaan, sambutan tahun baru ini sering diiringi dengan pembaharuan tekad di samping azam baru yang luhur.
Umumnya, kemahuan untuk berubah daripada kurang baik kepada baik atau baik kepada lebih baik itu adalah maksud perubahan yang seiring dengan ajaran Islam. Konsep ini pernah menjadi sebutan ramai ketika Dasar Pandang ke Timur popular di Malaysia. Ia disebut sebagai kaizen, istilah yang menerangkan konsep serupa dalam bahasa Jepun.
Lazimnya, manusia tidak meletakkan tekad dan azam yang buruk dalam kehidupan mereka. Secara fitrahnya, manusia mengimpikan kehidupan terbaik untuk diri masing-masing. Namun, kepelbagaian realiti membuatkan apa yang dilihat baik dan buruk oleh manusia itu rencam sama ada dari segi nilainya atau dari segi pentadbirannya.
Hijrah bukan hanya kisah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat r.anhum meninggalkan Mekah dan ke Madinah. Ia juga bukan sekadar petunjuk kehadiran tahun baru. Harus diingati bahawa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.anhum telah bertolak ke Madinah di hujung bulan Safar dan tiba pada 12 Rabiul’awal. Tanggal 1 Muharam hanya dipilih oleh Saidina Umar r.a. kemudian. Seluruh peristiwa Hijrah ini tentulah mempunyai makna besar kepada kehidupan manusia, khususnya umat Islam.
Antara pelajaran yang boleh kita lihat sepintas lalu ialah berkaitan konsep masa dengan pembentukan kalendar Hijrah. Kita tahu betapa pentingnya masa dan umat manusia dikurniakan jumlah masa yang sama, 24 jam sehari untuk berusaha.
Ia memberikan konteks kepada kita tentang persoalan baik dan buruk yang cukup dekat dengan persoalan Hijrah ini. Maka, marilah kita tanyakan diri sama ada telah cukup memanfaatkan masa untuk melakukan kebaikan dan keadilan dan tentulah menjaga diri daripada kezaliman dan melawannya.
Hijrah Rasulullah s.a.w. memberi makna besar dalam hidup bernegara. Kita dapat saksikan bagaimana masyarakat disusun berasaskan prinsip universal yang adil kepada semua. Ia ditandai dengan penggubalan Piagam Madinah. Selain itu, Baginda s.a.w. juga menegaskan bagaimana persoalan hak pemilikan manusia patut berlangsung. Baginda s.a.w. menegaskan prinsip pasaran bebas yang membolehkan Abdul Rahman bin ‘Auf, sahabat r.a. yang telah meninggalkan kekayaannya di Mekah kerana ikut sama berhijrah, berusaha dan membina kekayaan baru di Madinah. Ini adalah antara dua perkara penting yang kurang diperkatakan selain daripada Nabi Muhammad s.a.w. membina masjid.
Saya fikir dua perkara ini perlu dibincangkan secara objektif untuk dijadikan panduan hidup bernegara di Malaysia yang nampak kian tidak menentu. Ingatlah, keadilan adalah nilai penting yang dicintai Nabi s.a.w. sementara kezaliman adalah lawannya. Sebab itu dalam satu hadis, Baginda s.a.w. tegas mengingatkan umatnya untuk menjadi manusia berprinsip, “…jika manusia berlaku adil, kalian berlaku adil dan jika manusia berlaku zalim, kalian tidak berlaku zalim”.
Sambil menyedari seluruh persoalan ini, Kerajaan Negeri Selangor tegas dengan pendirian untuk mengambil alih Industri Perkhidmatan Air di negeri ini. Ia dibuat untuk menghalang kezaliman akibat lemahnya perjanjian dan pelaksanaan industri ini untuk sekian lama. Apa yang malang ialah, rakyat diminta menanggung segala kelemahan ini melalui bantuan kewangan oleh Kerajaan Persekutuan kepada syarikat konsesi tersebut di samping usaha meningkatkan harga air yang tinggi.
Ini berlaku disebabkan wakil rakyat yang dipilih gagal memastikan mereka mewakili kepentingan rakyat. Tanpa diwakili, dan ianya tidak dibentang serta dibahaskan di Parlimen, jelaslah bahawa rakyat dimangsakan oleh Barisan Nasional. Kerajaan Negeri Selangor yang kini dipimpin oleh Pakatan Rakyat yakin bahawa Industri Perkhidmatan Air ini boleh diuruskan dengan lebih mapan kelak selepas diambil-alih.
Rakyat berhak mendapat perkhidmatan air bersih pada kadar munasabah dan bukan dibuat secara telunjuk lurus kelingking berkait. Sebagai penegasan, satu memorandum berkenaannya telah dipanjangkan kepada DYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong.
Saya berharap, usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membawa perubahan kepada kehidupan bernegara yang lebih baik akan terus disokong oleh rakyat. Di samping itu, teguran dan tunjuk ajar kepada kami amatlah penting dalam usaha memastikan keadilan itu hidup dalam setiap detik waktu.
Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah 1432 kepada seluruh umat Islam. Jadikanlah detik ini sebagai ingatan jelas untuk meneruskan tekad membawa perubahan bermakna kepada kehidupan bersama.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

No comments
Post a Comment