Usul potong gaji menteri kesihatan ditolak

LUMPUR: Usaha pembangkang untuk memotong gaji Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai idi Dewan Rakyat hari ini gagal.

Usul tersebut dikemukakan oleh Dr Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) yang menyalahkan menteri dan kementerian kerana gagal membantu seorang ibu tunggal yang kini menderita buta dan lumpuh setelah diberikan dos ubat yang salah oleh pihak Hospital Ipoh pada 2003.

Bagaimanapun, ahli parlimen BN menyokong Liow dan menghentam wakil pembangkang. Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mempertikaikan tujuan pembangkang yang seolah-oleh "tidak ada kerja lain" selain mengemukakan usul untuk memotong gaji menteri.

"Apa yang dibangkitkan oleh (wakil) Sungai Siput itu kadangkala memang ada kes seperti ini tetapi saya fikir Yang Berhormat Menteri Kesihatan ini seorang yang bersungguh-sungguh untuk bantu rakyat, jadi kalau ada perkara-perkara seperti ini boleh berjumpa dan berunding.

"Saya rasa menteri ini salah seorang menteri yang bersifat terbuka, layan semua orang…tidak sepatutnya dia dipotong gaji," katanya yang disokong Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula yang menyifatkan usul itu dikemukakan oleh orang yang "cetek pemikiran dan tidak waras".

"Kalau usul yang dikemukakan itu usul yang baik, saya juga akan ikut bahas, tetapi ini pemikiran orang yang cetek dan tidak waras. Sepatutnya akhir-akhir ini kita harus bincang bagaimana untuk bantu kementerian selesaikan masalah berkaitan hospital," kata Bung Moktar.

Turut bangkit menolak usul yang dikemukakan itu termasuk Datuk Lilah Yassin (BN-Jempol), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong), Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar), Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) dan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran).

Beberapa anggota Parlimen pembangkang termasuk Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Khalid Abdul Samad (PAS-Shah Alam) bangkit mempertahankan usul Dr Jeyakumar dan menyifatkan anggota Parlimen BN tidak faham isu dan ‘angkuh’.

Menggulung perbahasan usul itu, Liow menjelaskan, memandangkan wanita berkenaan telah membawa kes itu ke mahkamah, kementerian tidak lagi mempunyai sebarang kuasa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Kes ini berlaku pada 2003 hingga 2005 dan pada 2007 kes ini dibawa ke mahkamah…bila kes ini sudah berada di mahkamah kita (kementerian) tidak boleh lagi campur tangan untuk selesaikan kes seperti yang diminta oleh Yang Berhormat Sungai Siput," jelasnya.

Liow meminta Dr Jeyakumar supaya tidak memutar belitkan fakta dengan menuduh kementerian meminggirkan pesakit miskin.

"Kita tidak buat perkara seperti itu, sebaliknya kita tolong pesakit yang tidak berduit, kita adakan Tabung Bantuan Perubatan…jadi tidak betul dakwaan kementerian menindas pesakit miskin yang dirujuk ke hospital kerajaan," tegas Liow.

No comments

Powered by Blogger.