Pengundi ‘simpanan tetap’ BN

Jayanath Appudurai

Dalam sejarah politik negara belum pernah wujud situasi di mana sebilangan besar rakyat asyik menunggu sahaja supaya pilihan raya umum diadakan.

Fenomena hati berdebar-debar ini boleh dipandang dari dua sudut.

Dari sudut positif, tanda-tanda peningkatan dalam tahap kematangan masyarakat kita sebagai satu demokrasi yang giat dan sihat. Di antara lain:

* Peningkatan tahap kesedaran awam tentang prinsip-prinsip urus tadbir negara. Kepentingan isu-isu integriti, akauntabiliti, ketelusan telah mula dibicarakan secara terbuka bukan sahaja di Parlimen tetapi juga di kalangan khalayak ramai;

* Perbincangan umum isu-isu yang sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 dianggap sensitif seperti Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, ketuanan atau kedaulatan Melayu, negara sekular atau negara Islam, dan sebagainya;

* Tumpuan luar biasa terhadap pendaftaran dan pendidikan pengundi bukan sahaja oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapi juga oleh parti-parti politik dan beberapa golongan masyarakat sivil;

* Kebangkitan kaum mahasiswa menuntut hak untuk melibatkan diri dalam proses politik dan isu kemasyarakatan serta menentang Akta Universiti dan Kolej Universiti;

* Kegiatan beberapa golongan masyarakat sivil mendidik masyarakat mengenai lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan serta hak asasi warga negara;

* Kerelaan parti pemerintah untuk mendapat maklumbalas rakyat secara langsung terhadap pelan-pelan pembangunan seperti Model Ekonomi Baru serta inisiatif baru untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat melalui program-program tertentu;

* Kesanggupan parti-parti politik untuk memperjuangkan hak rakyat melalui kempen anti-ISA, anti-potongan subsidi, mengkaji semula penswastaan utiliti dan lain-lain;

* Timbulnya kecenderungan di kalangan ‘diaspora’ (warga Malaysia yang menetap di luar negara) yang ingin menyertai proses demokrasi seperti Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM)1 dan Malaysians Overseas Voters.2

Sebaliknya ada juga beberapa perkembangan negatif yang menyimpang daripada matlamat murni penubuhan negara bangsa dan yang mengancam keharmonian masyarakat dan perpaduan negara seperti:

* Beberapa usaha untuk menyemarakkan perasaan perkauman yang terpendam menerusi ‘kejadian-kejadian’ di Shah Alam (demonstrasi ‘kepala lembu’), pembakaran gereja Metro Tabernacle, kepala babi hutan dilontarkan ke dalam perkarangan surau Taman Sri Sentosa;

* Kemunculan pertubuhan-pertubuhan sukarela dan bukan-kerajaan (NGO) yang menekankan kepentingan hak kaum tertentu dengan menyuarakan isu-isu perkauman;

* Kemelut politik ekoran daripada usaha mengekal atau merampas kuasa seperti yang terjadi di Perak;

* Kesanggupan institusi-institusi negara (yang seharusnya neutral dan berkecuali) untuk campur tangan secara langsung atau tidak langsung dalam proses politik;

* Golongan-golongan tertentu khususnya di Sabah dan Sarawak sudah mula mempersoalkan pelaksanaan Perjanjian Persekutuan 1963;

* Keghairahan media arus perdana mahupun media alternatif yang menyokong kepentingan parti-parti politik serta memainkan peranan sebagai juara bangsa dan agama.

Walaupun tanda-tanda yang disebutkan adalah lumrah dalam sesuatu sistem demokrasi, malangnya ia juga menunjukkan bahawa kita masih terikat dengan satu suasana kuat berpolitik dan kurang menitikberatkan isu-isu urus tadbir baik.

Sebut politik, sebut kuasa

Barisan Nasional berhasrat untuk mengekalkan kuasa dan meneruskan pemerintahannya, seboleh-bolehnya dengan majoriti dua-pertiga. Parti-parti dalam Pakatan Rakyat pula berhasrat untuk mengambilalih kuasa di Putrajaya.

Perkembangan di peringkat masyarakat sivil pula amat menarik. Ada golongan yang menyokong pemantapan sistem dua parti. Ada juga yang berharap PR boleh menumbangkan BN. Dan kini muncul pula pergerakan baru seperti MCLM yang berhasrat memperbaiki sistem politik supaya kuasa sebenar adalah sentiasa dalam tangan rakyat.

Reaksi rakyat pula berbeza-beza. Ada yang menaruh harapan terhadap peralihan kuasa di Putrajaya. Ada juga yang hendak mengekalkan BN demi mengelakkan kekecohan.

Namum ada juga warga, khususnya golongan muda, yang sudah bosan dengan suasana berpolitik terlampau. Mereka kurang yakin dengan sistem demokrasi parlimen dan mempunyai sikap berbelah bahagi. Perkara yang merunsingkan ialah pemilih berdaftar mungkin memutus tidak akan keluar mengundi atau mahu merosakkan undi mereka.

Meneliti keputusan PRU12 seperti dipaparkan dalam jadual di bawah akan dapat membantu kita dalam meramal golongan manakah yang mungkin mempengaruhi keputasan PRU13 kelak.

[Selanjutnya Dengan Fakta]

No comments

Powered by Blogger.