Perintah Darurat Di Bangkok Mungkin Berakhir Bulan Ini

BANGKOK, 8 Dis (Bernama) -- Ketika keadaan keselamatan keseluruhannya semakin baik dengan tiada serangan bom dilaporkan sejak dua bulan lepas, kerajaan mungkin membatalkan perintah darurat di Bangkok dan tiga wilayah berjiran menjelang akhir bulan ini.

Mengakui bahawa keadaan keselamatan semakin baik, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva Rabu berkata kerajaan tidak mahu menggunakan undang-undang khas itu buat selama-lamanya.

Kerajaan juga, katanya tidak mahu mencabuli hak rakyat apabila keamanan kembali pulih.

Perintah darurat itu pada mulanya dikuatkuasakan di Bangkok pada 7 April berikutan beberapa siri pergolakan dan tunjuk perasaan anti kerajaan.

Ia kemudiannya dilanjutkan ke wilayah lain tetapi kerajaan membatalkan sebahagian besar daripadanya secara berperingkat, kecuali empat wilayah iaitu Pathum Thani, Nonthaburi, Samut Prakan dan Bangkok yang masih di bawah perintah berkenaan.

Sejumlah 91 orang, terdiri daripada 80 orang awam dan 11 pegawai keselamatan, terkorban manakala lebih 1,800 orang cedera dalam pertempuran yang tercetus antara penunjuk perasaan dan pasukan tentera bagi tempoh 10 April hingga 19 Mei.

No comments

Powered by Blogger.