The PR convention, hits and misses.

Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu lalu telah berjaya mempersembahkan gabungan itu sebagai pesaing paling jelas kepada Barisan Nasional dan paling mampu menggantikan BN sebagai kerajaan pusat.

Buku jingga Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia yang diedarkan menyenaraikan program PR untuk dinilai, menegaskan persediaan PR untuk melaksanakan tugas sebagai pemerintah dengan lebih berkesan.

Eksperimen gabungan parti-parti pembangkang ketiga selepas Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif ini kelihatan telah belajar daripada beberapa kesilapan, walaupun banyak perkara masih berlangsung seperti biasa.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan perasmian telah menggariskan usaha kerjasama yang realistik dan cadangan praktikal meletakkan calon-calon yang bersih.

Ketua pemuda PAS, Nasruddin Hasan turut memberi amaran yang sama, menyarankan tindakan sebelum "rakyat meluat."

Kepentingan usaha itu dapat dilihat berdasarkan cabaran daripada kumpulan-kumpulan yang dianggap kuasa ketiga dalam politik Malaysia seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) yang membentuk Barisan Rakyat dan kumpulan seperti Hindraf.

MCLM dalam satu kenyataannya menegaskan pencalonan calon bersih, dan pada masa sama mahu bertanding di bawah tiket PR.

Ini merumitkan lagi politik pemilihan calon dan perebutan kawasan dalam parti-parti PR dan antara setiap parti terbabit. Senarai calon yang lebih panjang pasti akan membawa kepada politicking yang lebih intens, membuka ruang untuk kepentingan rakyat diabaikan.

Berdasarkan perkembangan ini, PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti perlu menyenaraikan calon-calon terbaik, yang sekiranya diletakkan bersebelahan calon-calon lain akan jelas kelebihan mereka, sekiranya PR tidak mahu kerusi mereka disaingi juga oleh pihak lain.

Buku jingga yang dikemukakan mungkin satu kelebihan, kerana berbanding kumpulan lain, PR telah memperincikan progam dengan jelas dan secara kolektif sebagai sebuah pakatan pilihan raya.

Kesepakatan ini perlu dilanjutkan juga kepada pembuatan keputusan sebagai PR secara kolektif, mengelakkan agenda-agenda jalan singkat seperti membeli wakil rakyat dalam projek 16 September, 2008 dan keputusan didominasi seorang atau satu kumpulan tertentu.

Perubahan pemerintah di Perak telah mendedahkan kompleksiti politik lompat, apabila PR tidak lagi mempunyai kelebihan moral dalam kes itu kerana telah melakukan perkara yang serupa menjelang 16 September, 2008.

Kecaman-kecaman terhadap Umno ketika itu oleh pemimpin-pemimpin PR sangat kelihatan bersifat hipokrit dan selektif, menjadikan PR tidak ada bezanya dengan Umno dan BN yang lebih mudah dikaitkan dengan sikap itu.

Satu perkembangan menarik ialah parti-parti PR, terutama PAS dan DAP telah menunjukkan kompromi dalam hal ideologi, melibatkan isu negara Islam.

Ini walau bagaimanapun tidak boleh dilihat sebagai satu kemuncak kerjasama parti-parti PR melainkan satu proses yang masih berjalan dan dirundingkan. Tawar-menawar dalam hal ini masih berjalan dan boleh berubah secara dramatik pada bila-bila masa.

PAS sama sekali tidak boleh membaca dengan berlebihan kenyataan Karpal Singh itu dan menganggap debat isu tersebut sebagai sudah selesai dan DAP menerima ide negara Islam PAS, atau mempertahankan Islam.

Tindakan menerima kenyataan itu lebih daripada yang sepatutnya memperlihatkan kelemahan atau kemalasan berfikir dan mengharapkan sesuatu yang tidak realistik. Ini menjadi lebih malang sekiranya dilakukan oleh pemimpin kanan parti.

Apa yang berlaku hanya satu kompromi, dan menunjukkan PR ialah satu usaha sama parti-parti pembangkang dalam hal yang dipersetujui sahaja.

Maksudnya, kritikan terhadap isu seperti "budaya gay," konsert artis Barat tidak bermoral dan pelbagai isu moral hanya boleh ditangani oleh PAS sahaja, melalui pemuda contohnya, dan tidak melibatkan PR. Ini sangat jelas ialah satu had kerjasama dalam PR.

Apa yang diucapkan Karpal bukan sesuatu yang baharu melainkan pendirian DAP selama ini. Nada popular ucapan itu sekiranya didalami lagi tidak akan mendedahkan apa-apa yang menjanjikan bagi PAS.

Karpal pula hanya menyatakan sedia berunding dan bukan sedia menerima agenda negara Islam PAS.

Ungkapan popular Putrajaya masih kedengaran, walaupun tidak sekerap sebelum ini. Dalam hal ini, kesepakatan dan program yang lebih terperinci yang dipersembahkan mungkin lebih mendalam dan berkesan serta menjanjikan berbanding ungkapan Putrajaya yang sudah terlalu banyak digunakan.

Ucapan-ucapan pemimpin, termasuk oleh Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan lebih kepada untuk menarik sorakan dan membina sentimen feel good tanpa menjelaskan sebarang isu baharu.

Lim mempromosikan lagi kerajaannya sebagai mengutamakan Melayu dengan mengemukakan satu daripada banyak data yang ada, iaitu penganugerahan kontrak kerajaan. Isu-isu seperti tapak perniagaan di kawasan percutian, penggunaan bahasa Melayu dan banyak lagi isu kerajaan tempatan tidak disentuh.

Isu Melayu bukan hanya melibatkan kontrak tetapi juga budaya, program sosial dan ekonomi dan sebagainya yang lebih bermakna dan meluas berbanding kontrak. Tambahan pula satu kontrak itu bukan hanya melibatkan satu individu atau syarikat sahaja. Dan syarikat pula tidak semestinya dikuasai seorang individu.

Anwar pula menarik khalayak dengan isu Apco dan Israel, menumpukan perhatian terus kepada Umno dan Apco tanpa menjawab laporan kenyataan pemimpin Singapura Lee Kuan Yew mengenai dakwaan liwat terhadapnya.

Persembahan dramatik Anwar telah mengalihkan tumpuan konvensyen kepada Apco dan Umno.

Ucapan Karpal pada akhir konvensyen menjadi satu lagi ucapan menarik sorakan hadirin, dengan serangan peribadi terhadap bekas-bekas ahli PKR dengan kasar dan tidak bersopan, termasuk menggunakan perkataan "celaka."

Apa yang ingin disampaikan boleh dijelaskan dengan lebih berkesan tanpa sebarang usaha mensensasikan isu tersebut oleh Karpal.

Ini juga mendedahkan sikap pembangkang yang sering menggunakan serangan peribadi yang berlebihan terhadap individu-individu yang tidak sehaluan dengan mereka.

DAP boleh dianggap sebagai pihak yang mendapat manfaat terbesar daripada konvensyen yang diadakan di negeri di bawah pentadbirannya itu.

Ketua Menteri Lim telah mengambil kesempatan memberikan sumbangan kepada rakyat negeri itu pada waktu rehat, selepas menyenaraikan kebaikan-kebaikan kerajaan negeri pada ucapan awal.

Ucapan presiden PAS mungkin yang paling tidak mendapat perhatian, kerana nada serius dan bersifat introspektif terhadap pakatan pembangkang itu, ketika sebahagian besar ahli dan penyokong PR masih menagih retorik-retorik, termasuk pujian-pujian dan kecaman terhadap musuh.

Budaya politik PR masih memerlukan penambahbaikan yang menyeluruh supaya tidak hanya mengulang dan meneruskan apa yang disaksikan selama ini.

PR tidak lagi boleh hanya menggunakan hujah ia lebih baik berbanding BN dalam semua perkara. Ini kerana BN berjaya mencapai banyak agendanya walaupun ketika kurang popular dan menerima pelbagai tekanan dalaman, sedangkan PR masih menerima sokongan ramai serta belum melalui pergeseran dalaman seperti dialami BN.

PR masih memerlukan maklum balas daripada rakyat berhubung buku jingga yang dikemukakan itu, kerana agenda tersebut bukan satu kitab suci yang perlu diterima semua rakyat Malaysia.

Tambahan pula, banyak perkara di dalamnya yang perlu diperincikan lagi dan ditegaskan, supaya tidak wujud tafsiran yang pelbagai atau sikap memilih-milih dalam melaksanakan agenda yang tersenarai.

Apa yang boleh dijangka ialah perincian setiap perkara dalam buku itu akan membuka pertikaian tafsiran setiap parti komponen PR.

Satu contoh ialah isu tempat ibadat yang sesuai untuk semua agama. Hal ini akan terdedah kepada pertikaian seperti yang telah berlaku di Shah Alam, Selangor.

Begitu juga dengan isu perumahan dan "satu keluarga, satu rumah." Berdasarkan penerusan sistem ekonomi neoliberal yang diterima oleh parti-parti PR, sukar untuk dijangka apa yang telah berlaku selama ini dikawal atau dihentikan di bawah kerajaan PR, kerana kuasa pendesak golongan kapitalis yang sering lebih berjaya berbanding rakyat biasa.

Isu ini melibatkan satu dasar yang sangat besar. Masa akan menentukan sama ada kerajaan PR benar-benar serius dengan janji ini.

Rakyat masih perlu menuntut janji sejak 2008 ditunaikan oleh PR. Agenda dalam buku jingga yang dilancarkan itu masih perlu kepada penambahbaikan, untuk benar-benar menjadikan agenda PR sekiranya berjaya memerintah negara akan memulihkan sistem sedia ada dan bukan hanya menukar pemain lain.

Dan yang lebih menuntut keikhlasan PR ialah usaha mencapai agenda-agenda tersebut walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya akan datang.

http://www.politikpop.com/

No comments

Powered by Blogger.