Syabas! Polis 1Malaysia menyambut pesta air orang Buddha juga

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjs3V9Si5lWqDyOGGxkzw7euc8iieJ2yaZzbe8bbwt7NLVNwRyiWtojTzitYy6LHtuc-I67uBdsBrlCW1mDoCmouHllSow05GiT8RbVIOXDXMnvFzgDYt1F2iDQOkb889ykJKtzY3wQXqw/s400/fuelsugar-protest.jpg
Written by Faisal Mustaffa


Pada Ahad lalu, berita melaporkan beribu-ribu orang berhimpun secara aman memprotes Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) atas kenaikan harga air.

Perhimpunan tersebut yang diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur dileraikan dengan dua trak meriam air (water cannon) dan trak black maria dengan hampir seratus anggota dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU), anggota polis biasa, unit trafik dan unit Cawangan Khas (SB).

Secara rasminya terdapat 52 orang ditahan. Ada yang ditahan di KL Sentral lagi hanya kerana berpakaian merah, warna tema demonstrasi pada hari itu.

Polis telah gagal dalam menjaga lalulintas sepanjang hari sehingga terjadi kesesakan kenderaan di beberapa lebuhraya menghala ke Kuala Lumpur.

Malah polis mentafsir perhimpunan bagi menuntut hak rakyat itu sebagai haram sungguhpun ada pihak yang mendakwa pihak Istana telah pun membenarkan memorandum membantah kenaikan harga air itu dihantar kepada Yang DiPertuan Agong.

Bagaikan sudah dirasuk semangat jahat, pihak polis mengejar, memukul dan mengherdik rakyat yang telah berhimpun secara aman untuk melahirkan ketidakpuasan terhadap usaha-usaha menswastakan air.

Kami bagai tidak percaya melihat polis berbaris rapi di perkarangan Masjid Negara tidak berani untuk menapak di perkarangan tanah suci itu. Bagaikan robot tidak berakal, mereka berbaris dan menunggu rakyat untuk menapak keluar supaya boleh dibaham dengan baton-baton FRU dan kasut-kasut polis yang berat.

BN akan rugi nanti

Polis telah melakukan sesuatu yang sangat bertentangan dengan kehendak rakyat dan parti pemerintah akan menanggung padahnya akibat kesilapan besar pihak polis ini.

Selama ini kami fikir Barisan Nasional masih mampu untuk memperbetulkan kesilapannya, tetapi pada kejadian Disember 5 itu, rakyat menuduh parti yang telah lama berkuasa itu setelah diprovokasi keras oleh pihak polis.

Ada juga yang menangis dan menyumpah pegawai-pegawai Polis Di Raja Malaysia yang bagai tidak berakal dan mekanikal. Barangkali sumpahan rakyat sudah berkesan?

Adakah pihak polis sudah tidak boleh bezakan baik dan buruk? Apakah kenaikan harga air tidak akan membebankan para anggota polis juga? Apakah gaji dan jumlah rasuah yang diperas oleh mereka menyebabkan mereka tidak merasa keperitan kenaikan harga air?

Mengapa mereka tidak menyertai rakyat dalam perjuangan? Sanggup mereka mengkhianati sumpah mereka untuk menjaga rakyat?

Apakah Polis Di Raja Malaysia mengharapkan orang ramai menghormatinya sedangkan mereka langsung tidak menghormati rakyat? Menembak sesuka hati, memukul sesuka hati, memeras wang sesuka hati, bagaimana rakyat mahu hormat?

Polis harus ingat, mereka milik rakyat, mereka berketuanan rakyat bukan Perdana Menteri, bukan Ketua Polis tetapi rakyat. Oleh yang sedemikian mereka harus menghormati rakyat, bukan dengan menembak gas pemedih mata, bukan dengan meriam air, bukan dengan memeras rasuah, tetapi dengan memberi perlindungan kepada rakyat danmenjaga keselamatan rakyat.

IPCMC tak ke mana

Namun jelas sekali polis tidak bersama perjuangan rakyat. Berakhirnya perhimpunan aman dalam menghantar memorandum ke istana 5 Disember lalu dengan keganasan menunjukkan pentingnya cadangan bagi penubuhan sebuah Suruhanjaya Pembaikan Polis (IPCMC).

Semasa wawancara dengan bekas Ketua Polis Negara pada Dis 9, 2008 lalu, Musa memberitahu bahawa beliau amat berpuas hati dengan kerana kadar jenayah tahun 2008 tidak naik; ianya hampir dengan kadar yang berlaku pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 209,559 kes.

Perangainnya seolah-olah seorang pelajar yang memperolehi F7 bagi satu mata pelajaran dalam peperiksaan 2008 dan bangga dia mendapat F7 dalam peperiksaan tahun 2009.

Bagi pihak Musa dan Ketua Polis sekarang, mereka telah menunjukkan satu contoh yang buruk dalam keseluruhan pihak berkuasa polis dengan melupakan kepentingan laporan Suruhanjaya Diraja Polis bagi mengurangkan indeks jenayah.


Suruhanjaya tersebut telah mencadangkan bahawa kadar jenayah boleh dikurangkan sebanyak 20 peratus. Sekiranya ia dilaksanakan, berkemungkinan jumlah jenayah sebanyak 156,445 kes pada tahun 2004 boleh dikurangkan sebanyak 125,164 pada tahun 2005.

Malah, di bawah kepimpinan Musa, pembasmian jenayah pada tahun 2003 menunjukkan sebaliknya. Pada tahun 2003, jumlah jenayah ialah sebanyak 156,315 kes dan pada tahun 2007 ianya telah mencapai angka 200,000, yakni peningkatan 34 peratus dalam tempoh empat tahun.

Ketua Polis Negara sepatutnya bekerja dalam membanteras jenayah dan usaha beliau dalam mencapai matlamat suruhanjaya iaitu untuk mengekalkan jenayah rendah, membasmi amalan rasuah di dalam badan polis dan menghormati hak asasi manusia.

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.