Azizan sedih kemelut babitkan Exco

Oleh: ROSLINDA HASHIM

GURUN - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sedih dengan tindakan Pas kawasan Kuala Kedah yang memberi kata dua terhadap Datuk Ir Amiruddin Hamzah kerana didakwa tidak menyokong pendirian Yang Dipertuanya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi supaya menolak jawatan Exco yang ditawarkan.

Beliau berkata, perkara seperti itu pertama kali berlaku dalam sejarah Pas Kedah dan tindakan Pas kawasan itu seolah-olah bertindak menentangnya, juga amat mengejutkan.

“Dalam perlembagaan parti tiada perkara seperti itu. Dalam perlembagaan tidak disebut kes macam ini. Saya harap ia dapat diselesaikan secara baik,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran operasi pengeluaran bijih besi, semalam.

Hadir sama, Exco Prumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan Pengarah Urusan Kumpulan Permodalan Kedah Berhad (PKB), Harun Khalib.

Ditanya sama ada wujud unsur-unsur mensabotaj pentadbiran Kerajaan Negeri ekoran tindakan Phahrolrazi memberi kata dua supaya Amiruddin yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, agar meletak jawatan sebagai Exco jika masih mahu bersama Pas kawasan itu, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pihaknya menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sejauh mana kebenarannya.

“Saya tidak tahu ada unsur sabotaj atau tidak, biar rakyat nilai, saya tak kata apa pun pasal itu,” katanya.

Mengulas sama ada kemelut ini sedikit sebanyak menjejaskan kekuatannya untuk terus menerajui Pas Kedah, Azizan berkata, kebiasaannya jika wujud usaha untuk menggugat kerajaan mahupun parti, ahli parti akan memberi sokongan padu terhadapnya.

“Rakyat Kedah terutama ahli Pas sayangkan parti ini dan kerajaan. Jika ada usaha untuk menggugat kestabilan kedua-duanya, mereka akan bagi sokongan penuh pada saya. Tetapi saya, grass root tak mau, jika mereka mau, tak ada masalah,” katanya.

Azizan turut menjelaskan beliau masih sihat dan mampu menjalankan tugas rasmi kerajaan walaupun menjalani rawatan mata kelmarin.

Kelmarin, Pas kawasan Kuala Kedah memberi kata dua kepada Amiruddin kerana didakwa melanggari keputusan mesyuarat yang diadakan 17 Februari lalu. Antara keputusan yang dicapai ialah Pas Kuala Kedah sebulat suara menyokong pendirian Phahrolrazi untuk tidak menerima jawatan Exco bagi penggal seterusnya.

Arahan turut dikeluarkan kepada semua Adun dalam kawasan Kuala Kedah, iaitu Phahrolrazi (Pengkalan Kundor), Amiruddin (Anak Bukit) dan Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan) supaya tidak menerima tawaran untuk dilantik sebagai Exco.

Phahrolrazi mendakwa sebaik Amiruddin mengangkat sumpah jawatan Exco, tindakannya itu menyalahi keputusan dan beliau diminta memberi jawapan dalam tempoh 14 hari.

Amiruddin diminta memilih sama ada meletakkan jawatan sebagai Exco jika ingin bersama Pas Kuala Kedah, atau sekiranya mengekalkan jawatan itu, beliau bukan lagi sebahagian daripada Pas kawasan dan tidak dibenarkan terlibat dalam gerak kerja parti atau pengurusan Pas kawasan.

Kemelut ini berlarutan sejak dua anggota Exconya, yang juga Timbalan Pesuruhjaya I, Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II, Dr Ismail Salleh menolak pelantikan semula jawatan, tetapi meletakkan syarat sekiranya mahu mereka menerima semula tawaran itu.

1 comment

KarimBUJANG said...

Baru dapat memerintah Kedah sepenggal sudah nampak hati perut orang PAS. Berebut harta, kuasa dan wanita. Dimana maruah orang Islam hampa? Selama ini seuanya hanya pura-pura. Jual nama agama ISLAM, menipu rakyat, tipu ALLAH, hampa semua nak jadi apa? Malulah sikit. Dah la tak pandai mentadbir negeri, kerja nak perabih harta rakyat saja. Pikiaglah sendiri!

Powered by Blogger.