Krisis Exco: AJK Pas Pusat turun Kedah esok


Oleh: NURUL NADIA KAMARUZAMAN

KUALA LUMPUR - Kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat akan mengadakan pertemuan khas dengan pemimpin-pemimpin parti peringkat Kedah malam esok bagi menyelesaikan 'krisis Exco' yang dilihat boleh menggugat kerajaan negeri Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 jika gagal ditangani segera.

Pertemuan itu juga akan membabitkan perbincangan bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Mesyuarat khas malam tadi gagal mencari penyelesaian, sebaliknya memerlukan satu lagi pertemuan dengan barisan Badan Perhubungan Negeri Kedah.

Mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat kira-kira tiga jam di ibu negara tengah malam tadi, Naib Presiden Salahuddin Ayub berkata, kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terlibat sama dalam pertemuan esok.

"Perjumpaan akan diadakan pada Sabtu, malam Ahad di Kedah... tempat akan diberitahu kelak," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Salahuddin berkata, mesyuarat khas yang diadakan ini sebulat suara memutuskan untuk berjumpa dengan ahli Jawatankuasa Kerja Pas Kedah termasuk Menteri Besar.

"Perjumpaan itu akan melibatkan semua ahli tertinggi Pas termasuk Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Perjumpaan di Kedah nanti akan membincangkan dengan lebih meluas tentang permasalahan krisis di sana." katanya pada sidang media.

Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengadakan mesyuarat khas bermula 9 malam tadi bagi mencari penyelesaian ke atas 'krisis' kepimpinan parti peringkat Kedah, yang ketara selepas dua Exco Kerajaan Negeri menolak tawaran untuk dilantik semula ke jawatan itu.

Mesyuarat khas itu berlangsung di ibu pejabat parti di ibu negara dengan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Mohamed Sabu.

Mesyuarat khas itu diadakan dua hari selepas Salahuddin mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan salah seorang Exco Kerajaan Negeri terbabit.

Kelmarin, Salahuddin berkata, beliau ada beberapa formula untuk dibentangkan pada mesyuarat malam ini.

Katanya, mesyuarat ini diadakan khusus bagi membincangkan kemelut yang melanda kepimpinan Pas Kedah.

Dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian yang disiarkan kelmarin, Salahuddin menyifatkan pertemuan beliau dengan dua pemimpin Pas Kedah kelmarin membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.

Salahuddin berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Azizan dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.

Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Kehadiran Salahuddin di Kedah bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.

Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung, Selasa lalu.

No comments

Powered by Blogger.