Terjunamnya MAS dengan kerugian RM2.52 bilion
KUALA LUMPUR, 1 MAC: Kerugian mengejutkan sebanyak RM2.52 bilion yang dialami oleh syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) untuk tahun 2011 menjadi bukti salah urus dan model bisnes yang gagal.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, MAS sudah pun mula menjunam sejak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala meninggalkannya pada 2009, di mana keuntungan bersihnya telah merudum dari tahun ke tahun.
Katanya, MAS mencatatkan keuntungan RM490 juta pada tahun 2009 tetapi turun kepada RM234 juta pada 2010 tetapi rugi teruk RM2.52 bilion untuk tahun lalu.
“Kerugian yang dialami ini jauh berbeza dengan prestasi beberapa tahun lalu apabila Datuk Seri Idris Jala telah dilantik untuk memulihkan MAS sebagai CEO. Beliau dilantik pada tahun 2005 dan telah berjaya mencatatkan keuntungan RM850 juta pada tahun 2007 berbanding dengan kerugian RM1.3 bilion hanya 2 tahun sebelum itu.
“Datuk Seri Idris telah memulihkan MAS tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang. Adakah kita memerlukan Datuk Seri Idris Jala untuk kembali menerajui kokpit MAS untuk menyelamatkannya?” tanya beliau.
Di samping kerugian yang teruk itu, simpanan tunai MAS telah dikurangkan menjadi separuh kepada RM1 bilion pada akhir tahun lepas daripada RM2.1 bilion pada akhir tahun 2010, sementara aset bersih telah menurun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.1 bilion.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, MAS sudah tidak lagi terbang dengan bahan api tetapi hanya terbang dengan asap.
“Inilah warisan “piratisation” atau perompakan yang menyamar sebagai penswastaan dan kemudian pengambilalihan semula oleh kerajaan secara tidak keruan.
“Malah tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyelamatkan MAS pada tahun 2001 dengan membayar dua kali ganda harga pasaran tidak dapat membantu. Kerajaan Persekutuan telah membayar RM1.8 bilion atau pun RM8 setiap saham kepada Tan Sri Tajudin Ramli walau pun harga pasaran pada masa itu hanya RM3.68 sesaham,” tambah beliau.
Katanya, MAS tidak boleh menyalahkan keadaan ekonomi global yang kurang sihat kerana Singapore Airlines telah mencatatkan keuntungan untuk tahun lepas.
“Malah, jelasnya, kerajaan atau MAS tidak perlu mencari helah kerana syarikat penerbangan bajet tempatan Air Asia pun telah mengalahkan MAS dalam pelbagai segi.
“Kita hanya perlu melihat permodalan pasaran Air Asia yang bernilai RM10.1 bilion, berbanding MAS yang hanya bernilai RM4.8 bilion. Meski pun Air Asia hanya berumur satu dekad dan jauh lebih kecil dari segi operasi, ia bernilai lebih dua kali ganda dalam permodalan pasaran,” ulasnya lagi.
Guan Eng turut menyoal, bagaimana syarikat penerbangan bajet yang mengenakan caj yang lebih rendah boleh lebih berjaya dan untung berbanding syarikat penerbangan yang mengenakan caj yang tinggi.
“Adakah ianya satu masalah model bisnes yang gagal atau pengurusan yang gagal, ataupun kedua-duanya?” tanya beliau lagi.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, adalah jelas bahawa cara untuk mengelakkan aset kebangsaan negara daripada terjunam dan mungkin terhempas adalah untuk menggunakan model bisnes baru.
Model baru itu perlu berdasarkan kepada prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus yang telah membawa kejayaan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, tambahnya.
“Bukan sahaja kita berjaya meyakinkan dan menarik pelabur dan menjadi destinasi pelaburan pembuatan nombor satu di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2010 dan 2011, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan bajet pada setiap tahun sejak 2008 dan telah mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta,” kata beliau.
Menurutnya, jika MAS terus menggunakan kaedah perancangan pusat dan membenarkan campur tangan politik yang membiakkan rasuah dan ketidak cekapan, syarikat penerbangan kebangsaan negara itu akan gagal lebih teruk lagi.
“Soalan yang ingin ditanya oleh rakyat Malaysia adalah siapakah yang akan bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini?
“Sudah tentu kerugian RM2.52 bilion oleh syarikat penerbangan kebangsaan kita ini tidak boleh diterima semua, terutamanya apabila sebab utama ia diselamatkan oleh kerajaan adalah untuk menyelamatkannya daripada masalah-masalah salah urus dan model bisnes yang lemah.
“Kerajaan mestilah mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini dan mengambil tindakan ke atas mereka kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia,” katanya. – Roketkini.com
No comments
Post a Comment