Tumpu PRU13, jangan terperangkap titik bengik

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul soal perlantikan pimpinan dari kalangan bukan Islam dalam parti.

Ini, katanya kerana perlembagaan parti jelas memperuntukkan Islam sebagai syarat utama dengan menjadikan al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan qias sebagai rujukan.

“Tidak mungkin seseorang yang tidak yakin dengan sumber rujukan parti akan dipilih sebagai pimpinan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan media mengenai pandangan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad kelmarin, bahawa PAS bersedia menerima bukan Islam sebagai pemimpin barisan kedua parti sekiranya ia satu keperluan.

Namun kata Dr. Dzulkefly, perkara itu tidak timbul sekarang ini, dan jika sekalipun akan dilaksanakan, perkara itu perlu diputuskan dalam muktamar parti.

Justeru, Tuan Ibrahim menambah, PAS menyeru seluruh ahli memberikan fokus kepada persiapan Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang semangkin hampir.

“Jangan terperangkap dengan plot yang dirancang oleh musuh, tanpa kita sedari. Kerana terlalu banyak masa, tenaga dan tumpuan kepada titik bengik dalaman parti, sedikit sebanyak akan menjejaskan tumpuan Pilihan raya Umum,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

No comments

Powered by Blogger.