Agong wajib sekat penglibatan tentera bantu polis kawal ketenteraman

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Hrkh) - Penglibatan tentera mengawas ketenteraman awam adalah tidak perlu dan mungkin bertentangan dengan Perlembagaan berikutan terdapatnya ura-ura pihak polis akan meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengawal ketenteraman awam sebagaimana yang disuarakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasan kelmarin.

Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika dihubungi menegaskan tugas menjaga ketenteraman awam adalah tanggung jawab pasukan polis sebagaimana yang disebut di dalam Akta Polis 1967.

Ia bertujuan untuk membolehkan proses demokrasi berjalan dengan lancar. Apa yang berlaku selama ini, ujar beliau, pasukan polis telah menyekat perhimpunan yang aman yang pada satu ketika pernah disahkan oleh Suhakam sendiri tindakan itu sebagai keras dan keterlaluan.

Dengan itu, kata Aziz lagi, polis tidak perlu mendapatkan bantuan tentera dan adalah lebih baik mereka menggunakan kekuatan dan sumber yang ada untuk mengawal dan menyelesaikan masalah jenayah yang kian meningkat.

Pensyarah Undang-Undang UIAM itu berkata, penggunaan tentera adalah merbahaya dan ura-ura yang disebut oleh Musa Hassan itu telah menghampiri garisan yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong selaku Panglima Tertinggi Angkatan Tentera sebagaimana yang dipertuntukkan oleh Perlembagaan bertanggungjawab menghalang cubaan untuk mempolitikkan angkatan tentera sebagaimana yang telah berlaku kepada pasukan polis.

"Dalam keadaan yang sedemikian baginda wajib bertindak dan tidak membiarkan diri baginda diperalatkan oleh kerajaan melalui nasihat yang berbahaya kepada Perlembagaan," tegas Aziz.

Selain Yang di-Pertuan Agong, tegas beliau, kesemua Raja-Raja Melayu adalah Kolonel Yang Dipertua untuk pelbagai regimen, kor dan formasi di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Sementara itu Majlis Raja-Raja juga mempunyai wakil di dalam Majlis Angkatan Tentera yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan.

Aziz berpendapat Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak kerana sudah tidak ada lagi sesiapa yang boleh diharapkan. Di dalam keadaan biasa mahkamah sepatutnya mentafsirkan peruntukan di dalam Akta Polis - seksyen 27 - yang menyekat perhimpunan aman dengan ketat termasuk membatalkan peruntukan itu.

Malangnya, kata Aziz, mahkamah membenarkan sekatan itu meskipun ia tidak munasabah. Polis sering menyebut kekecohan dan gangguan awam meskipun selama ini apa yang menimbulkan kekecohan ialah tindakan keras yang tidak perlu oleh pasukan polis sendiri. Dengan demikian adalah tidak wajar untuk pihak polis menyeret angkatan tentera terlibat sama dalam perkara ini.

Aziz berkata angkatan tentera perlu menyedari sumpah kesetiaan mereka kepada raja dan negara dan tidak mengikut perintah kerajaan membuta tuli sehingga menyebabkan mereka bertembung dengan rakyat yang mahu menentukan arah negara melalui demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan.

Angkatan tentera, tegas Aziz, adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam persekutuan sebagaimana pasukan polis dan pelbagai cabang perkhidmatan kerajaan yang lain. Mereka patut setia kepada raja dan negara dan tidak harus mematuhi perintah kerajaan yang berpotensi menggugat Perlembagaan dan menyalahi undang-undang. - tmj _

No comments

Powered by Blogger.