Balasubramaniam diugut untuk tarik pengakuan bersumpah?

Oleh Amin Iskandar @ Black

 Hari ini kita dikejutkan dengan berita Balasubramaniam, penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Baginda menarik balik pengakuan bersumpahnya yang didedahkan semalam. Bala hari ini, telah membuat pengakuan bersumpah yang baru dimana semua yang dinyatakannya semalam ditarik balik. Berikut adalah berita yang dilaporkan oleh Malaysiakini:



Bala tarik balik akuan berkanun
Jul 4, 08 11:18am
Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam membuat kejutan lagi apabila menarik balik akuan berkanunnya yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Altantuya Shaariibuu.

Dalam akuan berkanunnya itu, Balasubramaniam mendakwa Najib mempunya hubungan seksual dengan Altantuya. Najib juga didakwa memperkenalkan Altantuya kepada Abdul Razak Baginda.

Balasubramaniam berkata, beliau telah dipaksa membuat akuan berkanun tersebut. Dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur pagi ini, Balasubramaniam membuat akuan berkanun yang baru.

Akuan berkanun yang baru itu tanpa rujukan Najib mempunyai hubungan seksual dengan Altantuya ataupun Najib yang memperkenalkan Abdul Razak baginda kepada wanita Mongolia tersebut.

Balasubramaniam juga mempunyai peguam yang baru. Peguam Americk Sidhu, yang bersamanya semalam, juga tidak tahu apa yang sedang berlaku. Sidang akhbar Balasubramaniam masih berjalan.

Semalam, Balasubramaniam membuat pendedahan yang menggemparkan bahawa beliau telah mendengar dari Abdul Razak mengenai hubungan Najib dengan Altantuya.

Tetapi hari ini beliau berkata, beliau mahu menarik balik akuan berkanunnya pertama, yang difailnya pada 1 Julai, dan menggantikannya dengan yang baru, yang diumumkannya hari ini.

“Saya mahu menarik balik akuan berkanun yang pertama,” katanya sambil menambah, beliau dipaksa membuat akuan berkanun tersebut.

Balasubramaniam telah diupah oleh Abdul Razak untuk menguruskan Altantuya pada 2006 yang mengganggu Abdul Razak, yang juga rapat dengan Najib-Malaysiakini.

Jika kita faham bagaimana sistem negara ini bergerak, kita tidak akan terkejut dengan penarikan semula pengakuan bersumpah yang dibuat oleh Balasubramaniam. Kerajaan mempunyai Polis, Tentera dan segala macam instrumen yang boleh digunakan untuk memaksa Bala untuk menarik balik pengakuan bersumpahnya.

Sekarang tidak penting lagi sama ada Bala menarik balik pengakuan bersumpahnya atau tidak. Yang paling mustahak, pengakuan bersumpah yang dibuat oleh Bala sudah diketahui umum.

No comments

Powered by Blogger.