SAYA kebingungan sekarang. Bingung memikirkan senario terbaru membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seluruh Malaysia sudah tahu bahawa seorang pembantunya yang bernama Mohd Saiful Bukhari Azlan telah membuat aduan kepada polis bahawa Anwar telah meliwatnya di sebuah kondominium pada hari Khamis (26 Jun 2008). Saiful melapor kepada polis pada hari Sabtu (28 Jun 2008).

Anwar sekarang berada dalam `perlindungan' di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur. Menurut kenyataan Penasihat PKR itu dalam blognya, dia dijemput oleh Duta Turki, Barlas Ozener pada pagi Ahad (29 Jun 2008).

Kata Anwar, ada ancaman untuk membunuhnya.

Pada hari Ahad yang sama, isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengadakan sidang akhbar dan menunjukkan kepada para wartawan gambar Saiful (pengadu) bersama Khairil Anas Yusof seorang pembantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (lihat laporan The Star).

Dalam masa yang sama para pemimpin PKR, DAP dan Pas (sekutu Pakatan Rakyat) telah melaungkan bahawa Anwar telah diperangkap (oleh siapa?) dan sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 16 September 2008 melalui tindakan paling tadah sebilangan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Di kalangan umum ada tiga golongan pendapat. Satu golongan yang mempercayai Anwar melakukan apa yang didakwa. Satu golongan lagi bermati-matian percaya bahawa ini adalah pakatan jahat kerajaan BN untuk membunuh karier politik Anwar. Satu golongan lagi masih kebingungan kerana masih memikirkan apakah yang sebenarnya berlaku? Penulis adalah dalam kelompok ketiga, yang mungkin tidak seramai kelompok pertama dan kedua.

Namun penulis percaya bahawa yang paling ramai adalah kelompok kedua, yang bermati-matian percaya bahawa Anwar sekali lagi menjadi mangsa komplot jahat.

Dan penulis bertambah bingung berikutan episod-espisod selanjutnya.

Hari ini Najib telah mengeluarkan kenyataan mengenai gambar Saiful bersama pembantu khasnya (sila lihat laporan Bernama). Beliau menafikan terlibat dengan isu aduan terhadap Anwar. Kata Najib, gambar pegawainya yang diambil dengan pegawai Anwar di pejabatnya pada 12 Feb lepas adalah selepas pegawai Anwar datang ke pejabatnya bersama seorang rakan untuk berjumpa dengan pegawainya bagi mendapatkan sokongan untuk mendapatkan biasiswa dari kerajaan melanjutkan pelajaran.

Nah, ini yang menjadi persoalan besar di benak penulis. Bagaimana gambar berkenaan begitu pantas berada di tangan Wan Azizah (isteri Anwar) dan ditunjukkan kepada wartawan . Apa tujuan gambar itu ditunjukkan? Tidakkah gambar itu sengaja ditunjukkan bagi mendakwa bahawa Najib terlibat dalam komplot untuk menuduh Anwar meliwat? Bagaimana Wan Azizah memperoleh gambar itu. Sebagaimana kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussein bahawa Anwar mendakwa ada ancaman untuk membunuhnya adalah satu perkara yang tidak masuk akal. Adalah lebih tidak masuk akal bagi Najib untuk memerangkap Anwar dengan tuduhan meliwat.

Tidakkah lebih baik bagi sesiapa yang mahu memerangkap atau memfitnah Anwar, menggunakan dakwaan lain selain daripada meliwat? Tuduhan Anwar meliwat yang dihadapinya di mahkamah buat kali pertama dulu tidak diterima oleh majoriti rakyat Malaysia. Kes berkaitan juga telah diketepikan oleh Mahakamah Persekutruan atas rayuan. Tidak masuk akal untuk memerangkap Anwar sekali lagi dengan tuduhan liwat. Tentu akan menimbulkan kemarahan lebih besar.

Pada hari ini Menteri Luar, Datuk Rais Yatim juga mengeluarkan kenyataan bahawa Duta Turki telah menafikan beliau menjemput Anwar ke kediamannya dan memberikan perlindungan. Kata duta itu, Anwar yang datang ke rumahnya tanpa dijemput (sila baca laporan Bernama). Ini sangat bertentangan dengan dakwaan Anwar bahawa Duta Turki yang menjemputnya. Siapa yang bercakap benar? Penulis lebih cenderung untuk mempercayai cakap Duta Turki kerana jika beliau yang menjemput Anwar, ertinya beliau telah meletakkan hubungan Malaysia-Turki dalam satu keadaan yang tegang.

Setelah meneliti dan mempertimbangkan dari segenap sudut, akhirnya kita akan terpaksa menjawab tiga pertanyaan berhubung perkembangan yang boleh menambah gawat keadaan yang tidak menentu di Malaysia sekarang.

Pertanyaan pertama: Benarkah apa yang berlaku adalah komplot BN (atau Najib) untuk membunuh karier politik Anwar?

Pertanyaan kedua: Jika jawapan kepada pertanyaan pertama ialah tidak, maka kita terpaksa menunggu keputusan siasatan polis sama ada aduan yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar benar dan cukup bukti?

Pertanyaan ketiga: Pertanyaan ini telah pun dikemukakan oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang disiarkan oleh Utusan Malaysia di muka depan hari ini (lihat laporan). Kata Khairy, beliau tidak menolak kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya membuat laporan polis untuk meraih simpati orang ramai. Meraih simpati untuk apa?

Meraih simpati orang ramai supaya bertambah marah terhadap kerajaan BN. Sebilangan mereka sudah pun marah kerana penstrukturan semula subsidi bahan api yang menyebabkan harga minyak naik.

Anwar telah pun merancang untuk mengadakan Perhimpunan Sejuta Orang pada 5 Julai ini di Kuala Lumpur. Parti-parti pembangkang yang bernaung di bawah nama Pakatan Rakyat sedang menggembeleng rakyat supaya turun beramai-ramai ke ibu negara untuk memprotes terhadap `kenaikan harga minyak' pada tarikh berkenaan. Menurut salah seorang aktivis NGO, perhimpunan besar-besaran itu bukan sahaja akan diadakan pada 5 Julai, tapi akan diteruskan pada 6 dan 7 Julai `untuk menumbangkan kerajaan.' (lihat laporan malaysiaaktif.com)

Bayangkan kesan laporan Anwar dituduh meliwat ini terhadap sentimen rakyat. Ia ibarat mencurahkan petrol ke api yang marak jika mereka percaya Anwar dianiayai sekali lagi. Tapi inilah yang diuar-uarkan oleh PKR, DAP dan Pas.

Senario ini hanya mendesak polis supaya menyegerakan siasatan dan mengumumkan hasil siasatan. Persoalannya, apakah orang ramai bersedia untuk menerima hasil siasatan polis tanpa prejudis? Inilah yang dibimbangi.

Jika kita tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku yang kesannya akan ditanggung oleh negara dan seluruh rakyat, kita kena memberi kepercayaan kepada polis untuk melakukan siasatan tanpa melakukan sebarang tindakan yang mengeruhkan lagi suasana. Elakkan daripada situasi `yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang.'

Agak malang kerana pada masa yang sama kalangan PKR dan pemblog-pemblog yang menyokongnya, telah membuat tuduhan-tuduhan yang mempersoal kredibiliti pasukan polis dan pegawai-pegawai tingginya. Ini menambahkan kekeruhan.

Dalam keadaan sekarang cakap siapa yang lebih dipercayai. Hasil siasatan klip video Lingam telah memberikan kredibiliti kepada Anwar selaku orang yang mendedahkannya kepada umum. Maka siapa yang percaya tuduhan Anwar meliwat? Dan kemarahan terhadap kerajaan akan meningkat ke paras ledakan.

Rakyat Malaysia wajib kembali kepada kewarasan jika kita benar-benar menyayangi tanah air ini. Cara yang waras ialah dengan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan apa yang sebenarnya berlaku. Tiada pihak yang lebih berhak untuk menentukan kebenaran, selain daripada polis. Janganlah kita heret Malaysia ke kancah kebinasaan. Semua akan menerima padahnya. - Oleh Bashir Ahmad -malaysiaaktif.com- 30 Jun 2008