Rapat umum malam ini, umum 4 MP BN sertai Pakatan Rakyat
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam pukul 3 petang tadi, dijadual mengadakan rapat umum di Stadium Shah Alam pada pukul 8.30 malam ini.
Difahamkan,rapat umum itu diadakan untuk memberi peluang Anwar menjelaskan kedudukan dirinya dan situasi politik semasa.
Selain itu, Anwar juga dijangka mengumumkan nama empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut kemungkinan menyertai Pakat Rakyat.
Dua daripada mereka dikatakan wakil rakyat Umno.
Perkara itu dinyatakan oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali di lobi Parlimen hari ini.
“Saya tiada hak untuk umumkan apa-apa. Anda (media) kena tunggu dan dengar malam ini.
“Ketua Umum Pakatan Rakyat, Anwar juga akan hadir pada perhimpunan malam ini untuk menjelaskan kepada penyokongnya mengenai apa yang telah berkaku,” katanya.
Selepas satu tempoh selama 10 tahun, Anwar berhadapan dengan dakwaan yang sama.
Tuduhan liwat ke atas Anwar kali ini menjadi topik hangat setelah satu laporan polis dibuat oleh pembantunya Saiful Bukhari Azlan, 23, pada Sabtu lalu di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur.
Beliau mendakwa Anwar telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.
Bagaimanpun, Anwar mendakwa tuduhan terbaru itu adalah satu fitnah dan keselamatannya terancam.
Beliau juga mendakwa, semua tuduhan ini merupakan ulangan wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan dan membunuh karier politiknya.
Ditanya berhubung khabar angin kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor, akan dikosongkan bagi memberi laluan kepada Anwar, Azmin memberitahu, perkara itu sudah dibincangkan.
“Berdasarkan perbincangan yang kita lakukan, beberapa Ahli Parlimen menyatakan persetujuan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding,” katanya lagi.
Mengenai langkah keselamatan yang diambil bagi memastikan tahap keselamatan Anwar terkawal, Azmin memaklumkan PKR akan mepertingkatkan kawalan keselamatan terutamanya ketika menghadiri perhimpunan umum.
“Selain itu kita juga menyambut baik jaminan yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri mengenai keselamatan Anwar,” katanya.
Azmin juga menyifatkan dakwaan terbaru salah laku seksual terhadap Anwar adalah fitnah yang kejam dan jahat.
“Ini fitnah yang menggunakan skrip yang lama pada tahun 1998. Kita harap perhatian rakyat tidak dialihkan dengan isu-isu seperti ini.
“Apa yang penting ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menumpukan perhatian kepada soal masalah ekonomi yang menekan kehidupan rakyat hari ini,” katanya lagi.
Anwar Ibrahim berada di IPK Selangor 40 minit. Beliau tiba di IPK kira-kira pukul 2.50 petang dengan diiringi lima peguamnya dan meninggalkan premis itu pada pukul 3.25 petang.
Turut berada di pekarangan IPK ialah kira-kira 500 penyokongnya.
Semalam beliau keluar daripada berlindung di Kedutaan Turki, Kuala Lumpur selama lebih 30 jam.
Ketika ditemui wartawan petang ini, Anwar berkata, beliau akan berjuang habis-habisan untuk mematikan konspirasi politik kali kedua.
"Jangan cuba lagi," katanya pada sidang akhbar sejam selepas membuat laporan polis di IPK.
Malah, kata Anwar, Saiful tidak pernah akrab dengan beliau, sebaliknya dengan Timbalan Perdana Menteri dan pegawainya.
"Saya telah meminta polis siasat itu," katanya lagi.
Bagaimanapun Anwar mengakui bahawa Saiful pernah meminta jadi sukarelawan ketika pilihan raya umum yang lalu di bawah penyeliaan salah seorang pegawainya.
Katanya, laporan polis juga dibuat terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kewujudan elemen memesokongkan bukti pada 1998.
Tambah Anwar, peguammnya telah menghantar tiga surat kepada Peguam Negara dan Ketua Polis Negara menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dalam siasatan yang dijalankan, tetapi sehingga petang ini belum ada maklum balas.
Dalam pada itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (Pas-Tumpat) melahirkan kekecewaan mengenai situasi politik negara kerana masih wujud lagi konspirasi untuk menjatuhkan seorang pemimpin politik.
"Konspirasi seperti ini adalah kaedah yang cukup jijik dan mengaibkan," katanya.
Ditanya sama ada terdapat sebarang bukti untuk menyangkal dakwaan terhadap Anwar, beliau berkata sebahagian bukti-bukti politik telahpun ditunjukkan dan apabila kes ini dibawa ke mahkamah, bukti perundangan akan ditunjukkan
No comments
Post a Comment