Anwar Pertahan Tindakan Adakan Sidang DUN Di Bawah Pokok

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar mengadakan sidang tergempar DUN di bawah pokok di Ipoh hari ini.

Beliau juga menganggap persidangan itu sebagai sah kerana anggota berkenaan dihalang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri.

"Mengetahui yang persidangan itu akan diadakan, mereka (pihak berkuasa) mengepung kawasan itu, memaksa mereka (wakil rakyat pakatan pembangkang) mengadakan persidangan di bawah pokok.

"Pada pandangan saya speaker dilantik secara sah, beliau mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan...bagi kita ia adalah persidangan yang sah kerana ada notis yang sah, ada agenda...mereka dihalang daripada memasuki Dewan Undangan Negeri," katanya yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tidak membenarkan speaker dan 27 wakil rakyat berkenaan memasuki bangunan itu.

Kumpulan itu dihalang polis daripada memasuki bangunan itu kerana persidangan tergempar DUN itu disifatkan sebagai tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.