Mari Kita Contohi Nizar, Ngeh Koo Ham Dan Sivakumar.

Oleh Huzaifah View

Andainya…

Andai kita punya kuasa seperti seorang sakti, apakah yang akan kit a lakukan saat ini? Andai kita punya karamah seorang wali, maka apakah doa kita waktu ini? Andai kita dikurniakan mukjizat para nabi, seru apakah agaknya bertalunan tika ini?



Menyaksikan drama politik di Perak negeriku, benar-benar menghiris kalbu. Terasa ngerinya mengenangkan sebuah kesudahan. Apakah ini semua sudah suratan takdir, atau kita bisa untuk melakar sebuah tadbir. Di manakah nilai dan erti kematangan, erti kewarasan dan erti ketamadunan?

Hampir menitis air mata, tatkala membaca luahan demi luahan rasa oleh para pengunjung. Saya rajin menghantar artikel ke Perakexpress. Adakalanya, artikel baru yang saya hasilkan, saya hantar dahulu ke sana. Selepas itu baharulah saya postingkan di blog sendiri.

Itulah, apabila meneliti setiap komen yang diberi, semuanya berbaur antara kegelisahan dan ketidaktentuan. Hati masing-masing dibalut kesayuan amat sangat. Siapa yang tidak sayu, andai MB yang begitu baik laku diperbudakkan semahu-mahu. Siapa yang tidak sedih apabila seorang speaker yang sah diperolokkan bagai budak mentah. Siapa tidak marah apabila para Adun yang berhak ke persidangan; namun diperhambat bak budak gelandangan!

Ini negara apa agaknya? Saya membaca komen-komen...benar, kita kadang kala bertanya juga, di manakah peranan Tuanku sultan? Adakah segala kekalutan yang berlaku, hanya ribut dicangkir kopi? Tidak adakah sekelumit rasa simpati daripada istana negeri, yang kononnya mendabik dada selalu, bahawa raja berjiwa rakyat, menyongsong arus menunai hajat, biar mati anak jangan mati adat, biar raja disembah walau rakyat rebah, biar raja berdaulat walau rakyat dirundung ralat, biar raja bertakhta sedang rakyat menderita...

Kita sedih dan merasa terpukul bertalu-talu. Sudahlah segala jentera yang ada dikerah bak soldadu upahan, apakah ini nasibnya kerana menegakkan kebenaran?

Saya hanya suka mengulangkan seruan...perteguhkan saff di peringkat bawahan. Cina, India dan Melayu, mari kita bersatu. Kita bulatkan tekad demi sebuah pembaharuan. Politik alaf baru yang melangkau garis sempadan perkauman. Kitalah pencoraknya, pencorak masa hadapan negara demi anak cucu cicit dan keturunan kita.

Kita tinggalkan Umno dan Barisan Nasional yang enggan belajar menerima kekalahan. Mereka adalah generasi terakhir yang akan menyembah bumi dan dihumban ke dalam nereka dunia yang mereka gali sendiri tanpa mereka sedari!

Marilah...perkemaskan jentera parti kita. Biru, Merah dan Hijau kita kibarkan bersama dan julang diudara. Kita laungkan kalimah Reformasi, Takbir dan Makkal Sakhti tanpa letih, lesu dan tanpa henti. Kita semarakkan jati diri Malaysia Baru, Ketuanan Rakyat bukan Ketuanan sesuatu bangsa semata-mata.

Tidak lama, jika bukan esok mungkin lusa, mungkin bulan hadapan atau tahun mendatang, mereka akan melutut kepada ketentuan Allah jua. Bahawa yang bohong, palsu dan salah akan terserlah juga akhirnya. Bahawa yang benar, betul dan sah akan menang juga sudahnya.

Kitalah waris kemenangan itu...dengan syarat kita jalinkan seutuhnya tali perhubungan di antara kita, seutuh hati Nizar, Ngeh Koo Ham dan Sivakumar. Mereka adalah contoh buat kita di Perak juga buat Malaysia seluruhnya! Katakanlah: Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil (atau palsu) itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

2 comments

Harris Abdullah said...

Allahuakhbar .... Makal Sakhti ... Ketuanan Rakyat ... Hidup PR
Linkkan saya di www.pkrraub.blogspot.com

minda tenang said...

Ayuh Sahut Cabaran Mutlak itu....
Buktikan dengan tindakan Tegas, Bermaruah dan BerAKHLAK kita....
Perjuangkan hak-hak kita....
Tidak kira siapa kita, dimana kita...
Kita adalah rakyat Malaysia dibumi Malaysia...
Perjuangkan Hak kita sebagai Rakyat Malaysia....
Perjuangkan hak kita kearah keamanan, keadilan dan kesejahteraan bumi Malaysia tercinta...

------Minda Tenang----

Powered by Blogger.