politik wang pahang: adnan dalang!

KUANTAN: Umno Bahagian Paya Besar semalam, menggesa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob meletak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab di atas keputusan Lembaga Disiplin parti yang mendapati empat wakil rakyat Umno daripada bahagian itu bersalah melanggar Perlembagaan parti dan Tata Etika Ahli.

Ketuanya, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa pihaknya mempunyai saksi bahawa keberanian keempat-empat wakil rakyat itu yang secara terbuka mencabar etika parti didalangi Adnan sendiri.

“Umno Bahagian Paya Besar merakamkan rasa kesal terhadap tindak tanduk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang dan berpendapat beliau hendaklah mengambil tanggungjawab dengan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama, semalam.

Ahmad Tajuddin berkata, beliau percaya keputusan Lembaga Disiplin adalah berasaskan peraturan sedia ada dalam rangka mengembalikan integriti parti.

Sementara itu, Adnan menasihatkan empat wakil rakyat digantung dan diberi amaran oleh Lembaga Disiplin Umno untuk lebih berhati-hati pada masa depan.

Beliau berkata, keempat-empat mereka akan diminta tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab dipegang dalam Umno bahagian sementara waktu ketika pemilihan Umno berlangsung.

Beliau berkata, tindakan itu bagi mengelakkan ditangkap atau disabitkan melakukan sebarang kesalahan.

“Sememangnya, ia amat menyedihkan apabila melihat rakan ahli dalam Umno dikenakan tindakan kerana melanggar tata etika parti, walaupun mereka tidak melakukan sebarang jenayah.

“Apa pun keputusan yang dibuat Lembaga Disiplin Umno perlu dihormati semua ahli parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan Lembaga Disiplin Umno menggantung Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail selama setahun manakala tiga Adun, iaitu Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah, Mohd Zaili Besar (Adun Panching) dan Mohd Shohaimi Jusoh (Adun Lepar) di beri amaran.

Adnan berkata, sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, beliau mahu menjelaskan bahawa keempat-empat mereka yang dikenakan tindakan bukan kerana terbabit dalam politik wang.

“Mereka tidak bernasib baik kerana didapati mengadakan dan turut serta dalam majlis perjumpaan atas tugas sebagai wakil rakyat ketika pemilihan bahagian Umno.

“Lembaga Disiplin Umno mendapati tindakan ini juga satu kesalahan mengikut Tata Etika Ahli Umno,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.