Karnival Rakyat, Konsert Kesenian Islam 'warnai' Muktamar PAS

Masing-masing khususnya pendukung perjuangan PAS sudah pasti tidak sabar-sabar menanti berlangsungnya Muktamar PAS kali ke-55 di Stadium Melawati, Shah Alam bermula esok sehingga Ahad ini (7 Jun).
Iklan




Selain pemilihan jawatan tertinggi parti dan perbahasan yang sering menjadi topik utama Muktamar, para perwakilan, permerhati dan orang ramai disajikan dengan pelbagai aktiviti yang mengeratkan ukhuwah sekaligus memeriahkan perhimpunan yang diadakan setiap tahun sekali ini.

Esok, Karnival dan Sukan Rakyat akan berlangsung bermula jam 10 pagi sehingga 6.00 petang dengan disusuli Forum Perdana yang bakal membariskan tokoh-tokoh agama yang terkenal antaranya Dato' Dr Haron Din dan Dato' Ismail Kamus.

Manakala pada hari Jumaat, jam 9.00 malam satu Konsert Kesenian Islam akan diadakan yang dijangka mendapat sambutan hangat apabila barisan seniman dan artis antaranya SN Dato' A.Samad Sai, Dinsman, Ito (Bekas Vokalis Blues Gang) dan Azhan Atan (Juara Akademi Nasyid) akan turut menjayakan penganjuran pada malam itu.

Seperti kelaziman, pada hari Sabtu (6 Jun), Ceramah Perdana akan diadakan dengan kehadiran dua Tok Guru iaitu Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat dan Dato Seri' Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai penceramah utama pada malam itu.

Untuk itu, orang ramai dan semua pendukung Pakatan Rakyat dan PAS dijemput untuk sama-sama hadir memeriahkan Muktamar kali ini.

Keterangan lanjut dan tentatif program, bolehlah dirujuk di laman web Muktamar PAS (Muktamar55.pas.org.my)

No comments

Powered by Blogger.