Kerjasama/Pakatan Menurut Perspektif Islam

MUQADDIMAH

Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi bekerjasama
dan bantu-membantu untuk menghadapi lawan.Persefahaman
ini berlaku di kalangan sesama Islam seperti yang
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Aus dan
Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah
panji-panji dan tertegaknya negara Islam.
Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam
seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul
Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman
dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian
Hudaibiyah”. Rasulullah s.a.w. mengiktiraf half al-fudul yang
berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu
persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi
setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi
oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan.

Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya,
lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang
bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di
rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman
tersebut.

Berhubung dengan peristiwa ini, Rasulullah s.a.w.
telah bersabda, maksudnya:

Daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku telah
menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan
yang aku amat suka kepadanya seperti saying kepada
unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku
diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku
menyahutnya.” (Riwayat Ibnu Ishaq)

Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang
berlaku dalam perjalanan Harakah Islamiyah menurut
keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman
masing-masing. Satu kajian yang mendalam perlu dibuat
dan dibincangkan dengan teliti agar langkah yang
diambil tidak bercanggah deng prinsip Islam yang mesti
ditegaskan dalam semua keadaan.

Hukum Tahaluf

Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada
syarat-syaratnya. Untuk memahami syarat-syaratnya,
hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang
dilangsungkan oleh Rasulullah s.a.w. dan ditolaknya.

Syarat-syarat Tahaluf

1.Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga
menjejaskan prinsip

Dalil-dalilnya ialah:

a) Hubungan Rasulullah s.a.w. dengan keluarganya dari
kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, khasnya
Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam,
tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w.
sehingga sanggup berkorban apa sahaja.

Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan
seolah-olah supaya Rasulullah s.a.w. bertolak-ansur
dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka
meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di
sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini
(menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan
meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan
kepada agamaNya atau aku mati kerananya.”

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab,
mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah
s.a.w.

b) Hubungan Abu Bakar al-Siddiq r.a. dengan Ibn
Daghnah yang bersedia untuk memberi perlindungan
kepada beliau dibatalkan. Hal ini terjadi apabila Ibn
Daghnah mensyaratkan kepada Abu Bakar supaya jangan
beliau membaca al-Quran di luar rumah kerana bimbang
boleh mempengaruhi orang lain kepada Islam. Contoh
maslahat yang diizinkan: a.Ke arah kedaulatan Islam
dan pelaksanaan syariatnya.

Dalam situasi kegagalan idealogi-idealogi asing dan
kebuntuannya menyelesaikan masalah, terdapat kumpulan
orang- orang Islam yang jahil dan terjebak ke dalam
idealogi bukan Islam dan kumpulan orang bukan Islam
yang memberi kesempatan kepada perlaksanaan Islam,
maka mestilah diadakan hubungan dengan mereka ke arah
dalam memberi sokongan kepada perjuangan kita dalam
pilihanraya, dalan persidangan dewan dan sebagainya,
dengan syarat mereka bersedia untuk menerima
kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaan
dengan sepenuhnya dan kita tidak memaksa mereka untuk
menganut Islam (tetapi mengambil peluang
memperkenalkan Islam kepada mereka).

Dalilnya ialah perjanjian Rasulullah s.a.w. di Madinah
dengan orang-orang Yahudi.

b.Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan
moral

Apabila perkara ini merupakan perkara-perkara yang
dirasai kesan dan akibatnya kepada semua golongan,
termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan
persefahaman dalam perkara ini.

Contohnya, bekerjasama di dalam usaha mendesak
pembebasan tahanan dan sebagainya kerana Rasulullah
s.a.w. mengiktiraf half al-fudul serta mengakui
pakatan dan persefahaman golongan yang menentang
perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah
s.a.w. walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat
mengakui kedaulatan Islam.

Dan sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya:

Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: Dua orang
anak muda yang mana salah seorang di antaranya dari
kaum Muhajirin dan seorang lagi dari kaum Ansar sedang
bertengkar.Seorang dari kaum Muhajirin atau mungkin
juga beberapa orang dari kaum Muhajirin berteriak:
Wahai orang Muhajrin! Manakala kaum Ansar berteriak:
Wahai orang Ansar! Setelah mendengar suasana begitu
Rasulullah s.a.w keluar dan bersabda: Ada apakah
panggilan seperti Jahiliyah ini? Mereka menjawab:
Tidak ada apa-apa wahai Rasulullah. Hanya ada dua anak
muda sedang bertengkar di mana salah satu dari
keduanya berusaha memukul bahagian tubuh yang satunya.
Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu tidak perlu
menyembunyikan persoalan. Seharusnya kamu menolongnya
baik yang zalim mahupun yang dizalimi. Terhadap yang
zalim, maka hendaklah beliau mencegah kezalimannya.
Sesungguhnya itu bererti telah menolongnya. Manakala
terhadap yang dizalimi hendaklah beliau membelanya."
(Riwayat Muslim)

2.Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan
matlamat perjuangan

Dalilnya:

a) Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan
Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk
bersama-sma menegakkan negara Islam dan
mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani
Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan
denga Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah
Arab sahaja.

b) Rasulullah membatalkan cadangan untuk bertahaluf
dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi
jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.

3.Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan
pegangan mereka

Di antaranya ialah mengakui kepimpinan orang-orang
bukan Islam dan bertahaluf dengan musuh-musuh Islam
untuk memerangi orang-orang Islam. Firman Allah
s.w.t., maksudnya:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil
orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan
meninggalkan orang-orang yang beriman.Dan sesiapa yang
melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia
(mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu
apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad
sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang
kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu
beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa
kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Ali
‘Imran: 28)

Berwala maknanya menjadikan sebagai pemimpin, teman
yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut
adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu dilahirkan
secara zahir, tetapi hatinya tidak redha di samping
berusaha untuk membebaskan diri dengan merancang bagi
meneruskan perjuangan dengan berhijrah dan sebagainya.

Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman secara sementera
waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah.
Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga
ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah (gencatan
senjata).

Disebut dalam “Syarah Muhazzab” (karangan Imam
Nawawi), di antara maslahahnya ialah mengharapkan
mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau
menolong kerana memerangi golongan lain. Tetapi para
ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya.

Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada
juga yang mengharuskan menurut maslahah (di antaranya
ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan
lemah). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau
mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia
tidak diharuskan.

Isti’anah (Meminta Bantuan atau Pertolongan)

Apabila adanya persefahaman, maka berlakulah
tolong-menolong, iaitu mereka berjanji untuk menolong
kita dan kita berjanji untuk menolong mereka.

1.Mereka menolong kita

Menurut Syeikh Sayid Sabiq dalam “Fiqh al-Sunnah”,
adalah harus bagi kita untuk menerima pertolongan
daripada golongan munafik dan fasik kerana Rasulullah
s.a.w. pernah membenarkan Abdullah bin Ubai (seorang
minafik) menyertai peperangan bersama-sama baginda.
Juga kisah penyertaan Abu Mahjan (seorang fasik) yang
mabuk dalam peperangan menentang Parsi.

Adapun pertolongan daripada orang-orang kafir,
terdapat kekhilafan di kalangan fuqaha’:

a)Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharusnya secara
mutlak b)Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan
syarat orang-orang Islam yang menguasai urusan c)Imam
Syafi’I mengharuskannya dengan syarat: a.Apabila
orang-orang Islam berada di dalam keadaan lemah
b.Apabila didapati orang-orang bukan Islam cenderung
kepada Islam dan memandang baik terhadapnya,
dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi
imbuhan dan bukannya bahagian ghanimah.

2.Kita menolong mereka

Menurut al-Sarkhasi di dalam kitabnya “al-Mabsut”, dan
al-Syaibani di dalam kitabnya “al-Siyar al-Kabir”,
Rasulullah s.a.w. menghantar tamar ‘Ajwat kepada Abu
Sufyan dan mengutus lima ratus dinar ke Makkah supaya
dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika
Makkah dilanda kemarau.

Menurut Ibn Qaiyim al-Jauziyah di dalam kitabnya, “Zad
al-Ma’ad”, apabila Sumamah bin al-Sal r.a., pemimpin
Bani Hanifah memeluk Islam, beliau memerintahkan
supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Makkah
sehingga penduduk Makkah berada dalam keadaan
kesempitan hidup. Lalu pemimpin-pemimpin Makkah merayu
kepada Rasulllah s.a.w. menasihatkan Sumamah agar
menghentikan sekatannya.

KESIMPULAN

Tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:

1.Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan
syarat:

a)Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam
b)Mengiktiraf negara Islam c)Menerima perlembagaan
Islam dan syariatnya

2.Tahaluf tanpa membentuk negara:

a)Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih
besar b)Masalah bersama untuk menentang kezaliman,
penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan
sebagainya c)Berlindung sementara ketika lemah d)Tidak
terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan
kepentingan Harakah Islamiyah

Perhatian

Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian
kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan
maslahah, di antaranya ialah seperti berikut:

1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat
penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah
Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang
akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan
mengikat.

2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan
Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik
pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh
dipercayai, bukannya yang lemah yang tidak berperanan.
Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan
Islam.

3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek
pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak
mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi
moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai
syakhsiyah yangkuat yang dapat membezakan mereka
dengan parti-parti lain dan perlu diberi kefahaman
kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan
idelogi-ideologi moden.Kalau tidak, tahaluf dengan
kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.

4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam
tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam
atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh
itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang
tidak akan membelenggu kita di belakang hari.

5. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama
yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi
prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan
sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga
menurut selera mereka.

6. Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan
bergantung kepada Allah s.w.t dan kebijaksanaan
kurniaanNya.

PENUTUP

Nas-nas dikaji menunjukkan tahaluf boleh dilakukan
secara melibatkan gerakan menguasai negara secara
menyeluruh dan secara khusus menghadapi isu-isu atau
situasi-situasi yang khusus dengan memenuhi
syarat-syarat yang tersebut di atas.


http://kelantan.pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=109%3Akerjasamapakatan-menurut-perspektif-islam&catid=15%3Ailmu&Itemid=53

No comments

Powered by Blogger.