Tanpa publisiti, MB Kedah bekerja untuk rakyat hingga Umno Kedah menikus

Oleh IDRIS SAMAD

Dato' Seri Azizan Abdul Razak menjadi MB Kedah dalam keadaan yang cukup tenang. Bukan sahaja beliau jauh dari kontroversi, malahan dilihat cukup berhemah dalam banyak keadaan.

Sebagai seorang yang begitu lama dalam politik, Ustaz Azizan bukan sahaja mampu membuktikan kemampuannya menerajui Kedah, malahan, cukup berterus-terang kalau bercakap.


Hingga peringkat ini, belum ada satu pun isu besar yang mampu menggugat kepimpinannya, walaupun di kalangan pembangkang di Kedah pernah menceritakan Ustaz Azizan dicemburui orang-orang muda di dalam PAS.

Beliau dikatakan cukup berhemah dalam berbelanja, malahan tidak mengambil kesempatan untuk membina pagar rumah walaupun berhak berbuat demikian, hingga menimbulkan keinsafan di kalangan pemimpin Umno, melihat begitu berhematnya Menteri Besar ini menguruskan kewangan.

Ketika kerajaan Perak mengambil keputusan menukar penggunaan Proton Perdana kepada Cambry sebagai kereta rasmi Exco, Ustaz Azizan memilih untuk mengekalkan penggunaan Proton Perdana.

Satu hal yang cukup pelik di Kedah, banyak perkara yang boleh didedahkan tentang penyalah urusan kewangan syarikat-syarikat kerajaan negeri ketika di bawah pentadbiran Umno, namun Ustaz Azizan tidak memilih untuk mengaibkan sesiapa.

Apakah tiada satu pun ‘kesalahan dan kemungkaran’ yang pernah pentadbiran dulu lakukan? Jika ada, kenapa sehingga hari ini Ustaz Azizan tidak memilih untuk menyerahkannya kepada SPRM untuk menyiasat seterusnya jika mempunyai bukti, mendakwa mereka ini?

Kalau bercakap, Ustaz Azizan tidak kisah DAP atau PKR, yang tidak betul, beliau akan tegur tetapi kalau betul, walaupun datangnya dari kepimpinan Umno, Ustaz Azizan memilih untuk ‘mengatakannya betul’.

Seorang setiausaha Umno bahagian di Kedah ketika dihubungi memberitahu, selama dia melihat beberapa Menteri Besar sebelum ini menerajui kerajaan negeri, kepimpinan Ustaz Azizan jauh berbeza dari kepimpinan terdahulu.

“Dulu, sama-sama Umno sering salah menyalah. Bila seseorang Menteri Besar berundur, Menteri Besar yang baru akan mula menyerang dan menuding jari terhadap kepimpinan terdahulu. Tetapi, kini ia seperti tidak berlaku. Ustaz Azizan sibuk memperbaiki beberapa kerosakan dan terus mahu membawa Kedah keluar dari imej kemiskinan,” kata pemimpin Umno ini.

Politik Kedah kelihatan tenang. Umno yang kehilangan kuasa masih sibuk bertelagah sama-sama sendiri tetapi kerajaan negeri di bawah Ustaz Azizan kelihatan begitu berjaya dan terhindar dari kontroversi.

Jika Lim Guan Eng di Pulau Pinang masih menghadapi pelbagai isu termasuk perlantikan YDP PBT hingga menimpulkan konflik, di Kedah ianya tidak berlaku. Dalam pilihan raya kecil Dun Bukit Selambau, Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan kerusi itu dan seperti yang dijanjikan Ustaz Azizan melantik Adun tersebut menjadi anggota Exco kerajaan negeri.

Satu formula Ustaz Azizan yang menjadikan beliau terselamat dari serangan pembangkang dan kontroversi ialah mengamalkan perbelanjaan yang cukup berhemah dan tanpa slogan rakyat diutamakan tetapi melaksanakan komitmen kerajaan negeri dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan mana-mana parti politik.

Beliau berjaya memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Besar rakyat dan tidak mengamalkan pilih kasih ketika membuat kebajikan.

Itulah sebabnya, setakat hari ini, ketika MB Selangor sentiasa menghadapi piket kerana rasa tidak puashati mereka yang merasakan kampungnya tersisih dari arus pembangunan, di Kedah, ianya tidak berlaku.

Perlis yang berjiran dengan Kedah dan merupakan negeri yang terkecil sekali pun, disebabkan Menteri Besarnya dari kalangan Umno, kontroversi tidak dapat dielakkan. Ketika Mat Isa Sabu sibuk melantik kawan-kawannya mengelilinginya di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Umno negeri, rakyat Perlis terus kagum mengapa Ustaz Azizan tidak diselubungi masalah.

Bila timbul isu kononnya ada pegawai Menter Besar Kedah bernikah dengan isteri orang, Ustaz Azizan secara terbuka menerima aduan tersebut dan mengarahkan pegawai berkenaan memberi penjelasan kepadanya.

Hari ini terbukti, fitnah itu adalah usaha pihak-pihak tertentu yang mahu mencemarkan imej seseorang yang kebetulan orang itu bekerja di Pejabat Menteri Besar.

Satu ketika dahulu, ada Pemuda Umno yang membuat dakwaan kononnya ada Exco Kerajaan Negeri Kedah yang bercakap kasar hingga menyentuh pihak Istana tetapi apabila dicabar supaya membuktikannya, sehingga hari ini tiada siapa yang mampu tampil kehadapan.

Setakat hari ini, mungkin Umno sedang berusaha mencari atau mengumpul bahan-bahan yang boleh menjejaskan imej kepimpinan Ustaz Azizan tetapi jelas, tiada apa yang boleh digunakan.

Umno sebenarnya perlu belajar dari stail Ustaz Azizan. Kuasa tidak merubah kehidupannya. Jawatan tidak menjadikan beliau seorang manusia yang lupa asal usul.

Malahan, kakitangan kerajaan tentunya dapat membezakan Ustaz Azizan dengan Menteri Besar-Menteri Besar Umno sebelum ini. Ustaz Azizan tidak perlu memperkenalkan kempen menanam padi atas bumbung untuk menjadi popular, seperti yang pernah Sanusi Junid mahu melakukannya dahulu.

Malahan, Ustaz Azizan tidak langsung mengambil kesempatan untuk ‘kondem’ usaha bekas Menteri Besar terdahulu sebaliknya memperbaiki beberapa kelemahan bertujuan melakukan sesuatu yang lebih baik, demi kesejahteraan rakyat Negeri Kedah.

Beliau boleh bekerja tanpa seberang publisiti dan beliau boleh berkhidmat tanpa sebarang slogan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Beliau membuktikan 'PAS Boleh'! Dan kini sentuhannya menyebabkan Umno menikus di Kedah.

No comments

Powered by Blogger.