4 Ekor Kepala Lembu Sahaja Yang Ditangkap?

Polis tahan 4 daripada 12 peserta demo kepala lembu

Kesemua mereka akan didakwa hari ini

PETALING JAYA: Polis telah menahan empat daripada 12 orang yang menyertai demonstrasi membawa kepala lembu di Shah Alam pada 29 Ogos lalu, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Sementara itu katanya, baki lapan orang lagi telah diminta datang ke balai polis semalam, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan polis bertindak menahan mereka.

Khalid berkata, mereka akan didakwa di mahkamah hari ini.

"Sebahagian mereka akan didakwa kerana mengadakan perhimpunan haram, sebahagian lagi di bawah Akta Hasutan dan ada yang kedua-duanya sekali," katanya.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata kesemua penunjuk perasaan terbabit akan didakwa setelah beliau berpuas hati dengan fakta dan bukti yang dikumpul oleh polis bahawa mereka perlu dihadapkan ke mahkamah.

Dalam satu kenyataan, Abdul Gani berkata mereka yang membawa dan bercakap sambil memijak kepala lembu akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan secara pilihan menurut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Abdul Gani berkata mereka dan penunjuk perasaan yang lain juga akan berdepan satu lagi pertuduhan mengikut seksyen 27 (5) Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

Pada 28 Ogos lepas, sekumpulan penduduk Seksyen 23, Shah Alam telah berarak kira-kira 300 meter dari masjid negeri ke pintu pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi membantah pemindahan kuil Sri Mahamariamman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Mereka membawa kepala lembu dan memijaknya ketika demonstrasi itu.

Tindakan itu telah mengundang kritikan pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tindakan yang menghina sensitiviti agama memandangkan lembu dianggap haiwan suci oleh penganut agama Hindu.

No comments

Powered by Blogger.