400 Asnaf Termasuk Anak Yatim Daerah Hulu Langat Terima Sumbangan Aidilfitri

SHAH ALAM, 14 September - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 400 golongan asnaf sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Raja Muda Musa Semenyih, petang semalam.

Seramai 400 orang yang terpilih merangkumi 100 orang anak yatim, 100 fakir, 100 orang miskin dan 100 orang saudara baharu di daerah Hulu Langat.

Mereka menerima sumbangan hari raya berjumlah 100 ringgit bagi setiap seorang anak yatim mankala bagi golongan asnaf, fakir miskin, dan saudara baharu 200 ringgit setiap seorang.

Pemberian sumbangan itu adalah atas dasar keperihatinan dan jiwa rakyat baginda Sultan Selangor kepada golongan yang tidak bernasib baik meyambut hari lebaran yang akan datang.

Lebih terharu apabila sumbangan ini disampaikan sendiri oleh baginda Sultan dalam majlis yang dianjurkan pejabat Sultan Selangor dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur dan terharu dengan bantuan kerana sedikit sebanyak menunjukkan ada insan yang prihatin dengan nasib mereka.

Bagi seorang ibu tunggal, Radhiah Abbas, 42 tahun, mengatakan dengan bantuan ini dapat meringankan bebannya untuk menjalani ibadah Ramadan dan aidilfitri kali ini.

“Akak rasa syukur dan terima kasih banyak-banyak sebab sekurang-kurangnya dengan bantuan ni dapat meringankan beban akak untuk sambutan hari raya ni,” katanya.

Begitu juga bagi ibu tunggal, Rohaya Jasmani, 40 tahun, yang memuji tindakan baginda Sultan memberi sumbangan dan prihatin dengan nasib rakyat.

“Akak rasa terharu, sukacita pun ada, terharu pun ada, sebab akak ibu tunggal, bukan senang nak jumpa Sultan, Sultan memang prihatin dengan rakyat dia, akak bangga,” katanya.

Disamping itu, bagi anak yatim, adik Adib Widzree Normazalan, 14 tahun, melahirkan rasa gembira dan terharu menerima sumbangan itu.

“Ucap terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan negeri Selangor dan Sultan, saya rasa gembira sangat dapat bantuan ni, terima kasih kepada semua yang beri sumbangan ni…gembira,” katanya.

Bagaimanapun bagi adik Muhammad Akhmal Anuar, 13 tahun, disamping kegembiraan itu, tidak dapat disorok kesedihannya menyambut aidilfitri tanpa orang tersayang.

“Rasa terharu, gembira dan rasa sedih pun ada…sebab ayah dah takde,” katanya.

Begitu juga bagi saudara baharu yang ditemui rata-rata mengucapkan rasa berterima kasih kepada baginda Sultan Selangor kerana berkenan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

“Gembiralah…Sultan ada kasi sumbangan dan bersyukurlah kerana dapat sumbangan tahun ni, berbuka puasa bersama-sama muallaf dan anak yatim, fakir miskin dan lain-lain,” kata Nur Shahirah Chin Abdullah.

“Saya berasa gembira….Insyaallah betul dapat meringankan sedikit beban saya sedikit,” kata Siti Aishah Abdullah.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud; Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Iskandar Abdul Samad, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, dan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.