BANDAR PERDA – Kempen tutup aurat di bazar Ramadan

oleh baraiman

BANDAR PERDA – Kesedaran mengenai wajibnya menutup aurat mendorong Pas Cawangan Bandar Perda mengadakan Kempen Menutup Aurat Muslimin dan Muslimat di Bazar Ramadan Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Pas Cawangan Bandar Perda, Mohd Asre Jusoh berkata, bazar berkenaan dipilih kerana ia diadakan di masjid dan masjid itu merupakan tempat suci bagi umat Islam.

Justeru, menurutnya, keperluan untuk menutup aurat itu perlu bagi menghormati bulan Ramadan dana masjid yang juga merupakan rumah Allah.

“Ramai yang masih tidak sedar akan wajibnya menutup aurat terutama dalam kawasan masjid. Masjid adalah tempat yang mulia dan suci. Oleh itu, jangan cemari dengan budaya tidak mengendahkan adab dan susila berpakaian dalam kawasan masjid.

“Oleh itu, kami mengadakan kempen pada hari ini sebagai salah satu inisiatif untuk menyampaikan dakwah Islamiah kepada Muslimin dan Muslimat yang mengunjungi bazar Ramadan. Bazar ramadan sememangnya menjadi tumpuan umum untuk mendapatkan juadah berbuka. Oleh itu, ia boleh dianggap tempat yang strategik untuk kami menyebarkan dakwah,” katanya.

:Turut hadir pada kempen terbabit ialah Ketua Penerangan Pas Kawasan Permatang Pauh Mansor Che Dan, Setiausaha Muslimat Pas Kawasan Permatang Pauh, Rafidah Razak dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Cawangan Bandar Perda.

Beliau berkata, seramai 50 ahli terlibat dalam kempen yang diadakan petang itu. Tambahnya, kempen berkenaan lebih menjurus ke arah konsep ‘turun padang’ bagi melihat sendiri situasi sebenar serta cuba untuk memberi kesedaran kepada pengunjung dengan mengedarkan risalah berkaitan kempen.

Katanya, walaupun di pintu pagar masjid itu sendiri tertera kenyataan ‘Zon Menutup Aurat’, namun ia tidak diendahkan sesetengah pengunjung. Bukan hanya pengunjung, malah peniaga itu sendiri juga tidak mengendahkannya.

Dalam pada itu, Mohd Asre berkata, orang ramai yang ditemui memberikan maklum balas positif melalui program yang dianjurkan.

“Mereka memberikan sokongan dan kerjasama yang baik dan ada antara mereka yang meminta agar kempen sedemikian diadakan di tempat lain juga,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kempen supaya ikhlas kerana Allah dalam setiap perkara yang dilakukan.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan masjid juga perlu melakukan sesuatu agar kesucian masjid sentiasa dipelihara terutama pada bulan puasa, kerana Ramadan adalah karnival ibadat.

No comments

Powered by Blogger.