DUN Bagan Pinang: SPR jamin tiada pengundi hantu

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang pertambahan undi sesuka hati atau undi hantu dalam undi pos pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Jaminan itu diberikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memandangkan proses undi pos dijalankan dengan kawalan ketat dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Peti undi pos itu akan kita pateri dan ditandangani di atasnya oleh pihak iaitu SPR dan wakil daripada ejen parti yang bertanding.

"Beg itu dipateri, kalau dibuka. Tandatangan nak dibuka macam mana lagi...Kalau ada masuk benda lain, mesti tahu punya. Tak boleh tipu. Kali ini pergi tengok dan diperhati dengan betul. kemudian anda bagi tahu saya, di mana tempat dia boleh tipu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan wartawan wujudnya syak wasangka dalam proses undi pos.

Justeru itu, beliau berkata wakil parti yang bertanding diminta hadir menyaksikan sendiri proses pengundian itu berlangsung kerana sebelum ini ada wakil yang tidak datang walaupun diundang SPR.

Mengenai tarikh undi Pos, Abdul Aziz berkata ia belum ditetapkan tetapi kebiasaannya dua atau tiga hari sebelum tarikh pengundian sebenar.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Oktober sementara tarikh pengundian jika ada pertandingan pada 11 Oktober.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari Barisan Nasional (BN) pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.

Sementara itu, Abdul Aziz mengingatkan pihak tertentu bahawa SPR masih memberi ruang dan peluang kepada mereka yang telah melanggar peraturan yang ditetapkan suruhanjaya itu kerana itu bukan bermakna SPR takut.

"Tapi jangan terkejut apabila tindakan diambil selepas ini. Kita dah ingatkan banyak kali, jangan pula nanti tuduh SPR zalim," katanya.

Abdul Aziz berkata satu pertemuan akan diadakan dengan wakil kedua-dua parti bertanding akhir bulan ini untuk memberikan penerangan mengenai perkara yang dibenar dan dilarang dilakukan sepanjang tempoh berkempen.

Berhubung dakwaan wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Abdul Aziz berkata, siasatan SPR mendapati tiada pengundi hantu dan pengundi terbabit adalah sah dan telah mendaftar sebelum 2002. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.