Gara-Gara Dadah! Bunuh Anak Saudara!


JENAZAH Mohd Adam Azrai, 3, dipangku bapanya, Rosman Mohd Noor ke bilik mayat Hospital Gua Musang, semalam. Kanak-kanak itu dipercayai mati dibunuh oleh bapa saudaranya di rumahnya di Kampung Malayu, Gua Musang.

GUA MUSANG: Kegembiraan budak lelaki berusia tiga tahun mendapat pakaian baru untuk Aidilfitri, kini hanya tinggal kenangan kepada keluarganya apabila dia mati ditikam bapa saudaranya dalam satu tragedi menyayat hati di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi di Kampung Melayu dekat sini, anak bongsu daripada dua beradik, Mohd Adam Azrai Rosman, mati ditikam bapa saudaranya yang juga seorang penganggur berusia 22 tahun.

Kejadian berlaku di depan nenek saudara mangsa, Norasma Che Daud, 29, yang sebelum itu melayan mangsa sambil menonton televisyen di ruang tamu rumah mereka, manakala bapa mangsa, Rosman Mohd Noor, 41, tidur tidak jauh dari situ kerana sakit mata.

Norasma berkata, sebelum kejadian, Adam begitu gembira menunjukkan beberapa pasang baju baru yang dibelikan bapanya Jumaat lalu untuk dipakai pada Aidilfitri nanti.

"Tiba-tiba, datang bapa saudaranya dari arah dapur dan menikam rusuk Adam dengan sebilah pisau, menyebabkan dia cedera parah.

"Perbuatannya membuatkan saya kelam kabut dan hanya meraung meminta tolong sebelum Rosman datang membantu. Malangnya, Adam disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital," katanya yang masih terkejut ketika ditemui di HGM.
Mohd Adam Azrai Rosman

Sementara itu, Rosman berkata, isterinya, Yusnisuhaila Yusoff, 36, yang berada di ruang lain rumah hanya menyedari kejadian selepas terdengar jeritan Norasma dan pengsan apabila melihat Mohd Adam Azrai telah ditikam adiknya.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Aziz Hassan, berkata suspek yang tidak melarikan diri ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Setakat ini, polis sedang menyiasat motif kejadian dan siasatan awal mendapati suspek yang dipercayai penagih tegar baru mengambil dadah," katanya.

No comments

Powered by Blogger.