Gobind: SPRM Tampar, Pukul, Bogelkan Saksi

Kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin dipertikaikan apabila saksi-saksi tampil mendedahkan bagaimana mereka ditampar, dibogel dan dipukul dengan batang besi oleh pegawai SPRM.

Peguam keluarga Beng Hock, Gobind Singh Deo berkata saksi terbabit sudah membuat laporan polis yang akan dikemukakan pada inkues kematian Beng Hock yang bersambung pada 8 September ini.

Jumaat lalu, Gobind memberitahu bahawa beliau akan turut mengemukakan bukti gambar kecederaan yang dialami mangsa ketika disoal siasat di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam di Shah Alam.

Gobind berkata antara yang dikaitkan dengan mendera saksi ialah Penolong Penguasa SPRM Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus yang turut terbabit dalam menyoal siasat Beng Hock.

Berikutan itu, koroner Azmil Muntapha Abas menangguhkan prosiding ke 8 September bagi membolehkan Mohd Ashraf melantik peguam kerana soalan yang bakal ditanya Gobind pada inkues itu boleh mendedahkan beliau kepada pertuduhan jenayah.

Gobind berkata laporan polis itu menerangkan secara terperinci bagaimana saksi berkenaan didera oleh pegawai SPRM di Tingkat 14, pejabat SPRM Selangor.

"Antaranya ialah pegawai bergilir-gilir menampar saksi, menutup mata saksi dan menyuruhnya berbogel, membalut batang besi dengan surat khabar dan menggunakannya untuk memukul perut, punggung, tangan dan kaki saksi, menendang di bahagian perut serta merotan untuk membelasah kemaluan dan tapak kaki sehingga saksi hampir pengsan.

Ini bukan satu-satunya laporan polis yang ada pada kami, banyak lagi yang akan kami kemukakan," kata Gobind, yang enggan mendedahkan identiti pengadu buat masa ini.

SPRM mengambil sikap lewa terhadap laporan polis itu. Peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata: "Itu (laporan polis oleh saksi) sudah menjadi amalan biasa, itulah kerja mereka (untuk membuat tuduhan) selepas keluar dari pejabat SPRM," tambah beliau.

Abdul Razak juga mengambil pendirian bahawa dakwaan penderaan terhadap pegawai SPRM tidak ada kena-mengena dengan kes kematian Teoh.

Koroner Azmil juga memberi tempoh kepada peguam SPRM untuk menyediakan soalan balas serta membuat penjelasan terhadap dakwaan penderaan dalam laporan polis itu.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, Gobind berkata ramai saksi telah membuat laporan polis bahawa mereka di dera oleh pegawai SPRM dan penderaan berlaku di Tingkat 14 Plaza Masalam, di mana Beng Hock disoal siasat.

Namun beliau kesal, kerana polis masih belum mengambil tindakan sepatutnya atas aduan berkenaan.

"Laporan polis yang kami dapat, ramai yang telah di bawa ke situ, di dera dan sebagainya. Mereka yang telah didera sedemikian telah membuat laporan polis, tetapi tidak ada tindakan yang dilakukan.

"Kita ingin tahu, apa ini, seolah-olah SPRM lebih berkuasa dari pihak polis. Apakah realitinya pihak polis tidak boleh mengawal SPRM?" soalnya.

Beng Hock 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di a, perkarangan pejabat SPRM Selangor pada 16 Julai lepas, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang RM2,400 kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor. - (TV Antara)

No comments

Powered by Blogger.