Isu kuil: Elak persepsi salah pada tindakan yang betul

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
RAMADAN makin menipis. Hanya tinggal berbaki 10 hari. Bagaimanapun, inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Di dalamnya ada malam agung yang paling istimewa; beribadat pada malam itu lebih baik daripada 1,000 bulan atau 83 tahun, satu tempoh melebihi usia kebanyakan manusia zaman ini.

Berusahalah kita mencari malam penuh keberkatan itu. Ya, masih belum terlewat ...


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusan akhir Ramadan kepada akhbar Harakah mengingatkan: "Iktikaf di masjid 10 hari akhir Ramadan adalah ajaran agama. Iktikaf maksudnya kurung diri dalam masjid. Seumpama ayam, lembu dan kambing kita kurung supaya menjadi jinak. Rasulullah pada 10 hari terakhir Ramadan iktikaf di masjid.

"Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari lebih baik, tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu kita niat iktikaf. Bila niat iktikaf kita merasakan diri kita dikurung di hadapan Allah Taala. ... saya nasihatkan semua ahli dan penyokong PAS mesti bertadarus. Saya sendiri ada tiga al Quran yang digunakan setiap hari iaitu di masjid, pejabat dan rumah."

Melalui tabung HARAKAHDAILY DOT COM (akaun Maybank 564070000336) yang kami lancarkan sejak dua tahun lalu, khususnya bagi membantu keluarga mangsa tahanan ISA dan mereka yang memerlukan, Alhamdulillah, setiap Ramadan, derma datang mencurah-curah. Segalanya akan kami manfaat dan salurkan kepada sasaran yang telah dikenal pasti.

Insya-Allah, minggu depan, saya sendiri akan turun ke Sabah mengagihkan sumbangan berkenaan. Meskipun kebanyakan tahanan sudah dibebaskan, namun berdepan realiti baru, kami rasakan mereka masih perlu dibantu. Justeru, terima kasih atas segala sokongan kepada tabung berkenaan.

Sesungguhnya, terbukti majoriti masyarakat kita cukup prihatin dengan kesengsaraan dan penderitaan orang lain khususnya di bulan puasa ini.

II.

Umno memang tidak boleh kalah di Bagan Pinang. Secara tradisinya itu kubu kuat Umno. Pakatan Rakyat mungkin boleh dibiarkan menang pada semua enam pilihan raya kecil di kerusi yang penyandangnya PAS atau KeADILan.

Tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pun agaknya tidaklah sangat memedihkan. Tetapi jika Umno terlungkup di Bagan Pinang nanti, parti itu dilihat terkepung dan dijangka lemas perlahan-lahan.

Di pihak Pakatan pula, usah tertipu dengan kemenangan 7-0 sebelum ini. Medan baru di Telok Kemang pasti berbeza. Momentum Pengkalan Pasir boleh terbenam sebelum menyeberang sempadan Negeri Sembilan.

Najib Razak dan Muhyiddin Yassin pastinya sedang ligat mencari formula mempertahankan kemenangan 2008.

Undi pos yang begitu banyak itu tentu dapat membantu BN, tetapi ia bukan bekalan yang 100 peratus selamat buat parti yang makin mereput itu.

Di pihak Pakatan, lebih 5,000 undi pos itu mesti dijadikan isu besar. Jerit dan pekik sekuatnya, biar dunia berhenti sekejap untuk meneliti undi pos.

Selain itu, walaupun komposisi pengundi campuran nampak menyebelahi Pakatan, namun dalam politiknya segalanya bisa berlaku. Lena dalam zon selesa hanya mengundang padah.

Cabaran Najib dalam mengemudi BN nyata kian dahsyat.

Di permukaan, Umno nampak tidak bergolak tetapi kes di Terengganu membuktikan air tenang jangan disangka tiada buaya. Bukan saja pengerusi perhubungan Umno negeri, yang juga Menteri Dalam Negeri, tidak dihormati pemimpin Umno bahagian, malah TPM Muhyiddin Yassin turut ditolak.

Ini belum diambil kira pergolakan dalam MCA yang tambah meruncing dan memalukan. Bagai ikan, ia membusuk bermula dari kepala.

MIC pula seperti retak menunggu belah. Presiden Samy Vellu masih mahu berkuku walaupun tentangan dari bawah makin menyeluruh.

Gerakan pimpinan Koh Tsu Koon mungkin agak stabil tetapi selagi peluangnya untuk merebut Pulau Pinang daripada Lim Guan Eng belum berhasil, parti itu juga terdedah kepada krisis dalaman.

Apakah BN hanya mengharapkan 'simpanan tetap' di Sabah dan Sarawak untuk kekal memerintah Pusat dan negeri-negeri tertentu? Najib tentu mengetahui, darjah kesetiaan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak bukan boleh diharapkan sangat terutama bila nampak kecenderungan rakyat memihak lawan.

Tidak mustahil Najib sedang mengintai tarikh sesuai untuk pilihan raya umum ke-13. Syaratnya, ekonomi tambah baik dan BN tidak kalah di Bagan Pinang!

III.

Isu pemindahan kuil di Shah Alam hanya menyerlahkan Umno ghairah memarakkan api perkauman. Sedih dan memalukan melihat rakaman orang Melayu bersikap kurang ajar dan biadap dalam majlis dialog dengan Menteri Besar Selangor dan wakil rakyat Pakatan.

Biarpun profil pengundi dan penduduk Shah Alam sepatutnya lebih berpendidikan, matang dan terdedah dengan simpang-siur maklumat, namun ada kalanya sentimen dan emosi boleh membakar-hangus segala rasional.

Kesediaan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk turun berdialog wajar dipuji dan harus menjadi tradisi kerajaan Pakatan walaupun berdepan risiko dicemuh dan dimaki.

Membicarakan soal majoriti dan minoriti dalam isu pembinaan rumah ibadat harus dilihat dalam konteks lebih meluas. Rujuklah khazanah sejarah Islam. Bersedialah untuk menawarkan keadilan, termasuk kepada bukan Islam, meskipun mungkin pahit untuk ditelan.

Pakatan Rakyat mesti konsisten dengan prinsip luhur yang dipegang bersama dan biarkan sahaja Umno tenggelam dalam lautan perkaumannya yang tidak bertepi itu.

Apa pun, cermat dan berhati-hati ... langkah politik tetap ada seninya terutama bagi mengelak persepsi yang salah terhadap tindakan yang betul.

No comments

Powered by Blogger.