Kekal MIC atau keluar: Pendirian Subramaniam dalam 2 minggu

Subramaniam: Banyak opsyen ditimbangkan, perlu masa untuk fikir

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam yang kalah buat kali kedua Sabtu lalu akan mengumumkan keputusan mengenai masa depan kerjaya politiknya menjelang awal bulan depan.

Subramaniam berkata, beliau sedang mempertingkan beberapa opsyen yang ada baginya buat masa sekarang.

"Biar saya fikirkan dan timbangkan kesemua opsyen yang ada... opsyen masih terbuka (untuk saya pertimbangkan). Dalam tempoh seminggu dua ini, saya akan mengumumkan keputusan saya," kata beliau kepada mStar Online.

"Banyak pihak bercakap, mencadangkan banyak perkara, saya akan memikirkan setiap perkara ini," katanya.

Difahamkan Subramaniam sedang memikirkan empat opsyen dengan mengadakan siri perbincangan bersama para penyokongnya.

EMPAT OPSYEN

Empat opsyen itu ialah kekal berjuang dalam MIC, menubuhkan parti baru, menyertai Pakatan Rakyat atau bersara terus daripada arena politik.

Bagaimanapun beliau enggan memberi bayangan berhubung keputusan yang bakal dibuat itu.

"Tidak, tidak... saya tidak mahu memberikan sebarang bayangan sekarang," katanya.

mStar Online difahamkan beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pucuk kepimpinan tertinggi dengan Barisan Nasional (BN) sebelum mengumumkan keputusannya.

Subramaniam tewas dalam usaha merampas balik jawatan Timbalan Presiden daripada penyandang Datuk G. Palanivel.

Palanivel mengekalkan jawatannya itu dengan menewaskan Subramaniam dan bekas Naib Presiden, Datuk S. Sothinathan. Palanivel memperoleh 629 undi, Subramaniam (547) dan Sothinathan (280).

DEMI KEPENTINGAN PENYOKONG

Subramaniam memberitahu, selama ini beliau sentiasa meletakkan kepentingan parti mengatasi segala aspek yang lain.

"Kini saya juga perlu mempertimbangkan kepentingan dan hasrat penyokong-penyokong saya. Oleh itu saya memerlukan masa untuk memikirkan perkara ini (masa depan kerjaya politik).

"Saya sudah memaklumkan mereka (yang menghubungi dan menemui saya sejak dua hari lalu) agar berikan saya sedikit masa untuk berfikir," katanya.

Selain kalah dalam pemilihan, Subramaniam kini berhadapan dengan kemungkinan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Pada 8 September lalu, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC memutuskan untuk merujuk Subramaniam kepada Jawatankuasa Disiplin berhubung laporan dakwaan penipuan undi pada pemilihan jawatan Timbalan Presiden 1977.

Berdasarkan perkembangan terbaru, Subramaniam bakal berhadapan dengan tindakan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana membawa kumpulan penyokong - dianggarkan 500 orang - yang disifatkan sebagai "samseng" oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bagi mencetuskan kekecohan ketika pemilihan.

Samy Vellu berkata, MIC tetap akan mengambil tindakan disiplin ke atas Subramaniam yang tewas pemilihan jawatan itu buat kali kedua.

Jika diambil tindakan disiplin yang dimaksudkan, beliau berhadapan dengan hukuman sama ada amaran, digantung ataupun dipecat daripada parti.

Mengulas lanjut tentang kekalahan kali ini, Subramaniam yang pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden dari 1981 hingga 2006 memberitahu, beliau cukup dewasa untuk menerima keputusan para perwakilan.

"Tetapi banyak perkara yang karut berlaku termasuk campur tangan Samy Vellu dalam pemilihan... beliau berkempen untuk calon-calon tertentu dan di pertengahan kempen mengeluarkan kenyataan CWC memutuskan untuk merujuk saya kepada Jawatankuasa Disiplin," katanya.

Ditanya sama ada Samy Vellu mahu menghabiskan kerjaya politik dalam MIC, Subramaniam yang pernah mencabar bosnya pada 1989 bagi jawatan Presiden memberitahu: "Saya sudah tidak kisah tentang beliau (Samy Vellu)."

"Bagaimanapun saya akan terus berjuang kerana seperti yang pernah saya mengatakan sebelyum ini beliau berkempen menentang saya dan di tengah-tengah kempen mengatakan mahu mengambil tindakan terhadap saya seolah-olah mahu mengganggu penyokong-penyokong saya," katanya.

"Ini perjuangan soal hidup atau mati bagi saya... bagi saya, saya kalah tetapi saya terima kekalahan.

"Bagaimanapun, adakah beliau terima kekalahan ini selepas seramai 827 perwakilan mengundi menentang calon yang Samy Vellu sokong," katanya lagi.

Kata Subramaniam itu, arah aliran itu merupakan mesej yang jelas untuk Samy Vellu tetapi menerima isyarat tersebut.

1 comment

UMNO PARTI PENJARA said...

Pilih opsyen yang terbaik...


















Berapa Juta Pelayar Internet Di Malaysia, Sehari, Sebulan Dan Setahun? Adakah Jumlahnya Semakin Menurun?
>>> Forum 1 Malaysia <<<

Powered by Blogger.