Kepentingan Negara Sedang Dilelong

Setelah kecoh isu pemilikan saham berkepentingan negara (BERNAS) kepada satu pihak di Hongkong yang tidak dipantau oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Kerajaan Malaysia, kini satu lagi usaha sedang giat cuba dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Pada artikel sebelumnya di laman blog ini, saya ada mendedahkan beberapa usaha pihak-pihak tertentu yang bersekongkol untuk dan telah menjual beberapa aset negara kepada negara asing. Malah saya pernah menjangka bahawa tindakan menggabungkan Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope kepada Synergy Drive seperti yang diusahakan oleh pihak CIMB (Nazir Razak), adalah sebenarnya satu usaha untuk memilik peribadikan aset berkepentingan ini dan seterusnya akan memudahkan ianya untuk dijual kepada pihak ketiga (asing).

Kini apa yang saya jangkakan itu (Synergy Drive yang bertukar nama kepada Sime Darby) nampaknya sedang membuahkan kenyataan. Ada pihak yang sedang giat berusaha melobi pihak asing untuk membeli kepentingan saham dalam Sime Darby sekitar 10 ~ 15 peratus. Usaha-usaha ini nampaknya didalangi oleh pihak tertinggi didalam pentadbiran Kerajaan Malaysia yang mana dijangkakan hasil penjualan saham ini (jika berjaya) mungkin akan mencecah sehingga RM1 bilion.

Apa yang pasti tindakan menjual saham berkepentingan negara ini tidak akan disekat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara kerana ianya dikhabarkan telah mendapat kelulusan Perdana Menteri Malaysia (Najib Razak).

Jika ini berlaku kepada Sime Darby (Synergu Drive), adalah tidak mustahil perkara yang sama akan berlaku kepada gabungan sektor peladangan yang lain yang juga telah dicadangkan oleh Najib Razak akan penggabungannya (Felda, Felcra dan Risda). Inilah bentuk penjajahan baru yang mungkin akan menyebabkan Malaysia terjebak dalam masalah yang besar dimasa akan datang.

Ada maklumat yang saya dapati menggariskan bahawa inisiatif ini sebenarnya digerakkan oleh pihak-pihak tertentu didalam Temasek Group yang memang terkenal berhajat untuk memiliki kesemua GLC dan syarikat utama berkepentingan didalam Malaysia dalam usaha mereka untuk meluaskan empayar Singapura.

Apa yang pasti, adalah tidak wajar kita membenarkan penjualan saham Sime Darby ini kepada pihak asing walau apa pun tujuannya. Sebagai rakyat Malaysia, kita berhak untuk memastikan bahawa tidak berlaku lagi penjualan entiti berkepentingan rakyat kepada pihak asing.

Ketua Perusuh
Bekas Felo Kanan
Institut Kajian Strategik Dan Antarabangsa – ISIS

No comments

Powered by Blogger.