Kerajaan Negeri Edar 3 Ribu Topeng Elak H1N1 Pelajar UPSR Selat Klang

SHAH ALAM, 4 September - Menyedari tarikh peperiksaan UPSR semakin hampir, Kerajaan Negeri hari ini meneruskan misi mengedarkan topeng muka dan mulut kepada beberapa sekolah di daerah Klang.

Ini bagi memastikan pelajar yang akan menduduki peperiksaan ini, terhindar daripada penularan wabak selsema influenza H1N1 yang terus meningkat, membabitkan 73 kematian di seluruh negara sehingga kini.

Usaha kerajaan negeri ini, sedikit banyak dapat memberi keyakinan dan keselesaan kepada pelajar terbabit untuk menduduki beberapa peperiksaan penting seperti UPSR, PMR dan SPM.

“Kita melihatkan ramai antara mereka ini bakal menghadapi UPSR pada hari Selasa akan datang 3 hari akan datang dan kita mahu memastikan mereka dalam tahap kesihatan yang optima untuk menghadapi peperiksaan besar tersebut”, kata Dr Halimah Ali.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata demikian kepada Tv Selangor selepas menyerahkan topeng muka dan mulut di Sekolah Rendah Telok Pulai, Klang pagi tadi.

Dalam pada itu, pelajar dinasihat mengutamakan aspek penjagaan kebersihan diri dan meningkatkan tahap kesihatan yang optimum agar mereka mempunyai daya tahan penyakit yang kuat.

“Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan untuk pemberian topeng pelindung mulut dan muka ini untuk ke semua sekolah-sekolah di seluruh negeri Selangor”, jelasnya lagi.

Kira-kira 3 ribu topeng muka dan mulut diedarkan kepada 3 buah sekolah di sekitar DUN Selat Klang.

Antaranya, Sekolah Rendah Telok Gadong, Sekolah Rendah Sungai Udang dan Sekolah Rendah Telok Pulai.

Program penyerahan topeng muka secara percuma itu turut membabitkan Briged Amal Selangor dan petugas Pejabat DUN Selat Klang. - NIZAM

No comments

Powered by Blogger.