Khalid Samad Nak Ajak Abang2 Masuk PAS! Takbir!

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad akan mempelawa abangnya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad untuk menyertai Pas apabila pulang berhari raya nanti.

Menurutnya, pelawaan ini akan dibuat pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini kerana itu merupakan masa yang paling sesuai untuk berbincang.

“Walaupun kami berbeza ideologi tetapi apabila bersua muka, kami masih boleh berbual-bual seperti biasa.

“Perbezaan ideologi ini mungkin disebabkan kami berada dalam dua zaman yang berbeza di mana Shahrir lahir pada zaman mahasiswa terlalu yang ekstrem dengan semangat kebangsaan Melayu dan saya pada era mahasiswa ekstrem dengan kebangkitan Islam,” katanya, semalam.

Khalid berpendapat, Shahir kini tidak begitu senang dengan keadaan politik semasa terutamanya ketika semangat kebangkitan kebangsaan Melayu yang melampau-lampau dinaikkan tanpa mementingkan hak orang lain.

“Saya juga bercadang untuk mempelawa seorang lagi abang saya, Ketua UMNO Cawangan Seksyen 6, Shah Alam, Ali Reza untuk turut bersama saya.

“Dalam keluarga saya, keahlian dalam Pas dan UMNO adalah hampir sama. Sehubungan itu, saya berharap dapat membawa semua ahli keluarga saya menyokong Pas,” katanya yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik.

Shahir yang dilahirkan pada 22 November 1949 di Kuantan, Pahang merupakan anak ketiga dan lelaki sulung kepada keluarga seorang guru, pernah berkhidmat di bawah beberapa tokoh terkemuka negara antaranya, Tan Sri Musa Hitam, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Hussein Onn.

Pada pilihan raya 1978, beliau diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan BN untuk bertanding di Parlimen Johor Bahru sehingga pilihan raya umum 1990 apabila menyerahkan tugas itu kepada Datuk Seri Mohd Khaled Nordin sebelum bertanding semula di kawasan itu pada pilihan raya 2004.

Beliau pernah menjawat beberapa jawatan dalam Kabinet antaranya, Timbalan Menteri Kewangan (1980-1981), Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1982-1983), Menteri Wilayah Persekutuan (1983-1985) serta Menteri Kebajikan (1985 -1987).

Jawatan terakhir beliau dalam Kabinet adalah ketika memegang potfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum melepaskan jawatan tersebut berkuatkuasa 8 April lalu, susulan daripada kekalahannya pada pemilihan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Beliau mendakwa, kekalahan itu seolah-olah memberi gambaran beliau tidak cemerlang dalam barisan Kabinet kerajaan dan menawarkan untuk meletak jawatan seiring dengan peralihan kuasa Presiden UMNO awal April lalu. -SH

No comments

Powered by Blogger.