Lantikan Idris Jala Bermasalah! Tidak Disenangi Kawan Dan Lawan

Tiada dua menteri jaga KPI - Idris Jala

IDRIS jala (kiri) berjabat tangan dengan Wong Foon Meng selepas mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Senator Datuk Seri Idris Jala, 51, hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau merupakan seorang menteri yang akan memberi laporan kepada seorang menteri lain dalam portfolio mengawal pelaksanaan inisiatif Indeks Prestasi Utama (KPI).

Katanya, semua pihak harus dapat membezakan antara tanggungjawabnya sebagai Menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

Ujarnya, sebagai CEO Pemandu beliau akan melaporkan segala perkara berkaitan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon iaitu satu-satunya menteri yang bertanggungjawab terhadap KPI.

"Manakala sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri, saya akan menerima tugasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari semasa ke semasa.

"Dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab ini, saya akan membuat laporan terus kepada Perdana Menteri kerana segala tugasan saya diterima terus daripada beliau," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Wong Foon Meng di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut mengangkat sumpah sebagai Senator, Timbalan Setiausaha MCA Melaka, Lee Cheam Choon.

Idris berharap penjelasan itu dapat menjelaskan segala kekeliruan terutama yang ditulis di blog sejak beliau diumumkan sebagai Menteri tanpa portfolio dan CEO Pemandu pada 27 Ogos lalu.

"Sekali lagi saya ingin jelaskan bahawa tiada dua menteri yang menjaga KPI. Dalam urusan KPI, saya merupakan CEO Pemandu dan bukannya sebagai menteri. Saya akan melaporkan kepada Tsu Koon sebagai menteri yang bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu beliau menghargai kepercayaan kerajaan melantiknya memegang jawatan tersebut sambil menyifatkannya sebagai peluang untuk berkhidmat kepada negara.

"Saya amat menghargai pelantikan ini kerana ia memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada negara.

"Saya akan menjalankan tugas dengan bertungkus lumus serta bersungguh-sungguh iaitu dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai satu keutamaan," katanya.

Sementara itu Tsu Koon yakin Idris akan menggunakan segala pengalamannya dalam bidang korporat iaitu dalam Malaysia Airline System Berhad (MAS) dan Shell untuk menjayakan misi membangunkan negara.

"Saya amat gembira apabila dapat bekerjasama dengan beliau dan saya yakin dengan pengalamannya yang begitu luas, KPI yang diperkenalkan mampu mencapai matlamatnya sekali gus menjana pembangunan negara," tambahnya.

Beliau turut memberitahu, ketika dalam MAS, Idris pernah diminta menjadi penasihat tidak rasmi kepada kerajaan berhubung pelaksanaan beberapa dasar yang telah ditetapkan bagi tujuan transformasi negara.

No comments

Powered by Blogger.