LZS Tidak Lantik Orang Tengah, Minta Orang Ramai Berhati-Hati

KUALA LANGAT, 1 Sept - Orang ramai di negeri ini diminta berhati-hati dengan individu yang cuba membantu untuk mendapatkan bantuan zakat dengan mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM300 setiap seorang.

Pengurus Besar Lembaga Zakat Selangor(LZS), Ahmad Shahir Makhtar berkata pihaknya mengesan perkara tersebut melalui aduan yang diterima daripada beberapa orang pelajar istitut pengajian tinggi yang mendakwa diminta membayar RM300 bagi permohonan bantuan pendidikan yang diluluskan.

Menurutnya, individu terbabit dikesan mengedar salinan borang permohonan bantuan zakat LZS selain memberi jaminan kelulusan bantuan.

“Kebanyakan mangsa adalah mereka yang pertama kali memohon bantuan zakat di LZS sama ada di ibu pejabat mahupun cawangan”,katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mewakili LZS untuk menguruskan permohonan bantuan zakat dan setiap borang permohonan boleh diperolehi secara percuma.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghubungi talian khidmat pelanggan LZS, 03-55227777 sekiranya dihampiri sindiket berkenaan.

No comments

Powered by Blogger.