MPSJ Rai 480 Orang Kurang Bernasib Baik Bersama Media

SUBANG JAYA 1 SEPT. - Seramai 480 orang termasuk ibu tunggal, anak yatim dan kurang berkemampuan diraikan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam majlis berbuka puasa, malam tadi.

Pada majlis tersebut, MPSJ telah memberi sumbangan berbentuk bahan keperluan asas dan bantuan kewangan yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan berkata, majlis ini turut mendapat sokongan dari rakan kongsi MPSJ iaitu Syarikat Mostwell dengan menyumbangkan sebanyak 100 unit mesin jahit untuk diagih-agihkan Jawatankuasa Penduduk MPSJ, Puspanita dan PBT angkat MPSJ iaitu Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

“ Sumbangan ini adalah untuk meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk bagi membuat persediaan menyambut musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu, majlis ini diadakan bagi meraikan pihak media yang telah bersama MPSJ dalam memberi liputan yang terbaik terhadap program-program anjuran MPSJ.

“Majlis hari ini adalah meraikan pihak media kerana telah bertungkus lumus menyampaikan mesej MPSJ kepada masyarakat dalam meningkatkan imej MPSJ melalui penulisan positif dan lain-lain lagi,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Exco Kerajaan Tempatan Kajian dan penyelidikan, Ronnie Liu dan bekas ahli majlis MPSJ yang tidak dilantik semula.

No comments

Powered by Blogger.