Pilihanraya : Ni'mat dan Nikmah

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi
1. Ketika saya menulis mengenai Pilihanraya : UMNO dan BN Nak Lari Ke Mana ? , bukan kerana saya mahu mendabik dada jauh sekali mendidik anak buah menjadi angkuh dan sombong .

2. Sebaliknya saya ingin mendedahkan hikmah besar dari fenomena yang sungguh luar biasa . Justeru apa yang berlaku itu tidaklah secara spontan atau kebetulan melainkan segalanya adalah perancangan Allah swt Tuhan Yang Maha Bijak dan Adil .


3. Tulisan saya kali ini adalah sambungan dari artikel sebelumnya . Kalau sebelumnya saya menulis dan mendedahkan mengenai hikmah , kini saya mahu menyebut mengenai ni'mat dan nikmah . Jika hikmah pilihanraya ialah mahu mengajar UMNO dan BN erti kalah agar mereka segera insaf dan memahami kehendak rakyat masa kini maka pilihanraya kecil yang berulang kali ini juga mempunyai ni'mat dan nikmahnya yang perlu diambil iktibar .

4. Ni'mat ialah anugerah Allah swt kepada hambaNya . Kemenangan demi kemenangan dalam pilihanraya kecil adalah antara ni'mat yang perlu disyukuri . Bukan kenduri kendara dan menganjurkan keraian guna merayakan kemenangan tetapi syukur dengan melaksanakan amanah kepimpinan yang dimandatkan .

5. Asas yang paling penting ialah jauhkan diri dari maksiat dan mungkar . Rendah diri dan tunaikan segala amanah kepimpinan dengan segala kemampuan dan keupayaan yang dimiliki . Mengabaikan amanah adalah satu perbuatan khianat yang dimurkai Allah swt sedang kita berjuang lalu menyertai pilihanraya adalah kerana memburu redha Allah swt . Menang atau kalah hanya satu keputusan yang boleh sahaja kita menerimanya tetapi kemurkaan Allah swt tidak mungkin kita mampu dan boleh menerimanya .

6. Selain dari perhatian diberikan kepada perlaksanaan tanggungjawab dan amanah , jangan lupa untuk melihat kepada sikap yang mungkin berubah sebagaimana berubahnya ni'mat kepada nikmah . Sekali dua kita menang mungkin kita gembira dan bersyukur kerana kita sukar untuk menang tatkala berdepan dengan UMNO dan BN yang menguasai kerajaan persekutuan ini .

7. Kemenangan besar pula berurutan kali akan melahirkan rasa megah dan hebat . Ini satu peringatan agar kita tidak terpedaya lalu akhirnya menjadi bongkak dan sombong . Lebih malang apabila murka Allah swt menimpa kita kerana mengambil hakNya lantaran hanya Allah swt yang berhak untuk sombong dan bongkak .

8. Hari ini sudah ramai dikalangan kita menghitung kemenangan malah leka dengan kemenangan tersebut . Kerja - kerja jamaah sedikit sebanyak terabai kerana memberi penumpuan kepada pilihanraya . Bukanlah pilihanraya itu tidak penting tetapi kita mesti ingat bahawa pilihanraya hanya sebahagian dari tugas perjuangan kita . Ertinya di sana masih terlalu banyak perkara yang wajib kita lakukan .

9. Kerja - kerja amal Islami terlalu luas terutamanya gerakkerja pengkaderan anggota jamaah . Inilah gerakkerja yang paling asas dan inilah jua tunjang kekuatan jamaah kita sebagai sebuah Gerakan Islam mendepani cabaran besar era ini . Malah gerakkerja pengkaderan inilah juga yang membezakan kita dengan yang lain . Jangan abaikan atau kesampingkannya semata - mata kerana pilihanraya sedang pilihanraya ini tidak akan habis . Saya bimbang pilihanraya ini menjadi nikmah bukan lagi ni'mat .

10. Mahu tidak mahu pilihanraya terpaksa dihadapi dan kemenangan mesti dicari , cuma dalam masa yang sama kita mesti bijak bertindak dan membahagikan tumpuan . Mungkin parti mesti memikirkan bagaimana mekanisme untuk menangani fenomena ini . Sebelum ini kita tidak berhadapan dengan situasi seperti ini [ 9 kali pilihanraya dalam tempoh setahun ] , kini realiti memaksa kita bistari dalam mengatur langkah . Paling penting ialah tarbiah dan gerakkerja pengukuhan parti jauh lebih penting dari hanya semata - mata pilihanraya .

No comments

Powered by Blogger.