Rahsia Atau Bermasalah?

Bakal calon BN di DUN Bagan Pinang rahsia: MB

SEREMBAN: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bakal calon yang akan mewakili Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang adalah rahsia.

Katanya, hanya pucuk pimpinan parti akan membuat keputusan akhir calon yang akan bertanding di Bagan Pinang.

"Kita hantar nama kepada Umno pusat dan sesiapa yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti, itulah calon kita. Sesiapa pun yang kita calonkan, tidak perlu sebut kepada orang ramai. Rahsiakan calon kita.

"Jangan bagi isu kepada orang ramai yang boleh menempelak Umno nanti. Yang penting dalam pilihan raya ialah parti. Calon hanya mewakili parti," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Umno bahagian Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau dekat sini, hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Besar bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung calon yang akan bertanding mewakili BN.

Katanya, pemilihan calon BN dilakukan mengikut hierarki dan amalan biasa parti, iaitu cawangan kepada bahagian, seterusnya ke peringkat badan perhubungan dan akhirnya pucuk pimpinan parti.

"KIta tidak boleh mengambil alih tugas pucuk pimpinan parti. Dalam amalan biasa, kita hantar lima nama calon atau sekurang-kurangnya tiga nama yang layak dijadikan calon. Terserahlah kepada pucuk piimpinan parti membuat keputusan," katanya.

Beliau yakin pucuk pimpinan parti akan mengambil kira pandangan semua pihak apabila membuat keputusan akhir nanti.

Sebelum ini, dilaporkan Umno bahagian Telok Kemang hanya menyenaraikan satu nama, iaitu Tan Sri Mohd Isa Samad yang juga ketua bahagian itu, tetapi Muhyiddin meminta supaya menyenaraikan sekurang-kurangnya tiga nama.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor, akibat jangkitan dalam darah, baru-baru ini.

No comments

Powered by Blogger.