Sekolah dibenar cuti ganti

Oleh Norfatimah Ahmad
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran membenarkan sekolah mengambil cuti peristiwa atau cuti berganti sempena Aidilfitri yang dijangka disambut Ahad atau Isnin ini, berikutan permohonan pihak sekolah dan ibu bapa.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata keputusan itu diambil bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga untuk bercuti di kampung masing-masing dan mengelak kesesakan jalan raya.

"Selepas meneliti permohonan dan pandangan yang dikemukakan, kementerian bersetuju memberi kebenaran kepada sekolah untuk mengambil cuti peristiwa iaitu bagi sekolah yang masih mempunyai baki cuti peristiwa, atau cuti berganti untuk sekolah yang habis cuti peristiwa," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Alimuddin berkata, sekolah di negeri yang hujung minggunya pada Jumaat dan Sabtu boleh mula bercuti pada Khamis 17 September, manakala sekolah di negeri yang hujung minggunya Sabtu dan Ahad dibenarkan bercuti pada Jumaat, 18 September ini.

"Sekolah yang mengambil cuti berganti hendaklah menggantikan hari persekolahan itu pada Sabtu, 31 Oktober," katanya.

Beliau berkata semua Pengarah Jabatan Pelajaran negeri diarahkan supaya meluluskan cuti tambahan itu mengikut permohonan yang dikemukakan saja, manakala Pejabat Pelajaran Daerah dikehendaki memantau pelaksanaannya>

No comments

Powered by Blogger.