Siapa Pemimpin Popular?

Sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pemimpin parti komponen BN supaya menjadi popular di kalangan rakyat untuk memastikan BN terus relevan di mata rakyat. Beliau berkata bahawa tidak berguna jadi popular di kalangan ahli parti sahaja, tetapi tidak popular di kalangan rakyat.

Siapakah pemimpin tersebut?

Persoalannya kebanyakan pemimpin BN hanya popular di kalangan ahli, sebab itulah mereka boleh naik. Mereka dipilih oleh ahli (perwakilan) untuk memegang jawatan dalam parti. Maka mustahak bagi mereka meletakkan populariti di kalangan ahli di tempat utama. Akibatnya, ramai yang kecundang dalam PRU 2008.

Oleh itu masuk akal apabila Pengerusi BN mengingatkan pemimpin bawahan beliau agar berusaha menjadi popular di kalangan rakyat sekiranya mahu terus wujud selepas PRU Ke-13. Kalau tidak, berkuburlah BN. Sebenarnya, PM sedar bahawa majoriti pemimpin BN tidak popular di kalangan rakyat, termasuk pemimpin kanan UMNO.

Bagaimana dengan Pak Najib sendiri? Adakah gagasan 1Malaysia telah mempopularkan beliau?

Untuk menjadi popular di kalangan rakyat tidak susah. Hayati 10 perkara di bawah.

1. Jangan kelentong rakyat. Jangan depan cakap lain, belakang buat lain. Rakyat benci kepada pemimpin yang hanya tahu tabur janji tetapi tidak reti menunaikannya. Masa pilihan raya, minta apa semua angguk, tetapi lepas pilihan raya habuk pun tidak ada. Batang hidung pun tidak nampak. Padang ada turun, tetapi padang golf.

2. Jangan “mengkastakan” rakyat. Negara kita tidak mengamalkan dasar aparteid yang membezakan rakyat melalui warna kulit, keturunan, anutan agama dan sebagainya. Sebaliknya, kita mengamalkan meritokrasi. Siapa bijak dia dapat. Bukannya siapa pandai bodek-bodek, jilat-jilat, ampu-ampu dia dapat.

3. Rakyat bukan Wak Yah, Said atau Samad. Oleh itu, jangan jadi Pak Dalang melaga-lagakan rakyat dengan isu kaum, agama atau hak istimewa demi menjaga kerelevanan parti. Isu ketuanan juga patut dijauhi kerana negara merdeka mana ada lagi konsep “tuan” dan “hamba”. Rakyat tidak bodoh. Mereka dapat membezakan pemimpin yang ikhlas dengan pemimpin yang lidah bercabang walaupun nada suaranya lebih kurang sama. “Kami memperjuangkan masa depan rakyat tanpa mengira kaum dan agama” merupakan ungkapan yang sering kedengaran di perhimpunan umum. Dan pada tempat lain, di depan kaum sendiri, pemimpin yang sama akan menjerit-jerit: “Kita akan mempertahankan bangsa kita, agama kita dengan apa jua cara.

4. Jangan rompak harta rakyat. Pemimpin harus sedar bahawa mereka tidak ada hak membelanjakan duit rakyat sesuka hati tanpa pengetahuan rakyat. Duit rakyat hanya boleh dibelanjakan untuk faedah rakyat, bukan untuk faedah diri, kroni dan sanak saudara. Sekiranya terdapat mana-mana pemimpin menyalahgunakan duit rakyat, tindakan patut diambil. Pemimpin jangan ingat bangkai gajah boleh ditutup dengan daun ketum.

5. Jangan menyalahgunakan kuasa. Menggunakan kuasa untuk menindas rakyat pun tidak boleh. Negara kita bukan negara firaun. Sekiranya rakyat bersalah, gunakan saluran undang-undang. Menangkap dan menahan rakyat tanpa usul periksa dan tanpa dibicarakan adalah tidak wajar dan dibenci oleh rakyat.

6. Pemimpin parti pembangkang wajib dihormati oleh pemimpin kerajaan kerana mereka juga dipilih oleh rakyat melalui saluran demokrasi.

7. Jangan merampas hak rakyat memilih kerajaan atau merampas kerajaan yang dipilih rakyat. Rakyat sangat benci kepada pemimpin yang memperalatkan mahkamah atau undang-undang untuk menafikan hak rakyat.

8. Pemimpin yang terlibat dengan salah laku wajib meletak jawatan. Rakyat ada mata. Mereka tahu pemimpin mana yang terlibat dengan salah laku biarpun tidak dilaporkan oleh akhbar perdana.

9. Rakyat tidak boleh terima pemimpin gila kuasa. Apabila sudah kalah, berkelakuan seperti orang kalah dan hormati orang yang menang. Orang kalah tetapi tidak dapat menerima kekalahan merupakan orang paling keji di mata rakyat.

10. Jangan jual negara kepada orang asing. Atas alasan apa sekalipun perbuatan menjual negara ialah perbuatan yang terkutuk. Mereka dipilih untuk menjaga negara dan rakyat. Kalau setakat hendak menjual negara, rakyat pun pandai melakukannya sendiri.

Sekarang ini, siapakah pemimpin paling popular di kalangan rakyat?satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.