SPRM perlu ratusan tahun siasat Adun Lunas!

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Episod Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh keluar parti dan menyokong BN rupanya tidak berakhir selepas tamatnya pilihan raya kecil Permatang Pasir. Ia berlarutan dengan desakan demi desakan rakyat Kedah, khususnya di kawasan Lunas supaya beliau melepaskan jawatan ADUN.

Media-media talibarut BN melaporkan Adun Lunas itu keluar KeADILan untuk menjadi wakil rakyat bebas. Itu tidak betul.

Bebas bermaksud dia tidak berpihak kepada sesiapa, Pakatan atau BN. Tapi Radzhi sudah mengisytiharkan sokongan kepada Presiden Umno. Dia kini sudah tidak bebas lagi sebab terikat dengan perjanjian sulit dengan pemimpin-pemimpin Umno tertentu yang mendalanginya keluar parti.

Antara tugas penting yang diberikan kepada Radzhi ialah menarik beberapa Adun Pakatan keluar parti. Dia sudah berusaha sejak setahun lalu dan sekarang pun masih menghubungi Adun tertentu untuk menjayakan misi menumbangkan kerajaan Pakatan Kedah.

Radzhi sama sekali tidak dapat menafikan apa yang saya tulis ini kerana Adun-Adun yang terbabit sendiri yang mendedahkan kegiatan Radzhi memujuk mereka.

Seorang sahabat dari KeADILan memberitahu mereka akan mengadakan protes besar-besaran terhadap Radzhi supaya dia melepaskan jawatan Adun. Ia satu langkah politik yang baik, tetapi saya memberitahu aktivis KeADILan tadi bahawa kerja mereka tidak akan berhasil.

Mana mungkin orang yang sanggup melacurkan kerjaya politik tunduk kepada desakan pihak lawan, atas desakan supaya dia melakukan pembersihan maruah. Kalau orang seperti itu tahu makna maruah atau harga diri, dia tidak akan bawa kerusi yang dimenanginya atas tiket Pakatan dengan menggadaikan kerusi tersebut kepada BN dengan harga tertentu.

Saya mengingatkan sahabat KeADILan tadi supaya menggunakan kesempatan Ramadan yang penuh keberkatan supaya mengadakan munajat secara bersungguh-sungguh memohon Allah menggerakkan hati Adun Lunas untuk melepaskan jawatan. Ia lebih efisien dari demonstrasi. Atau lakukan kedua-duanya.

Mohammad Radzhi Salleh bukanlah nama yang dikenali sebelum bergelar YB. Penyertaannya dalam KeADILan hanya beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-12.

Kebetulan dia sempat berkenalan dengan Pengerusi KeADILan Kedah waktu itu Dato' Johari Abdul, kini Ahli Parlimen Sungai Petani.

Radzhi dikatakan banyak 'menjual minyak' kepada Johari sehingga dia diberi kepercayaan memegang jawatan penting dalam penerangan KeADILan. Namun tempohnya tidak lama.

Dalam pilihan raya 2008, Radzhi ditawar kerusi Lunas. Masa itu tidak ramai pemimpin KeADILan yang berwibawa bersedia jadi calon. Mungkin ada masalah masing-masing, terutama masalah kewangan. Lagipun tiada siapa menduga akan berlaku tsunami politik begitu besar, terutama di Kedah Selatan.

Di pihak PAS, Majlis Tindakan Dun (MTD) Lunas bermati-matian mahu calon PAS bertanding kerusi tersebut. Tapi pihak Perhubungan PAS terpaksa mengadakan berkompromi dalam agihan kerusi dengan rakan KeADILan.

Keramatnya MTD PAS lunas, walaupun 'terguris luka' dengan terlepasnya Lunas ke tangan KeADILan, tetapi mereka bekerja untuk memenangkan calon Pakatan dari KeADILan, seperti calon parti sendiri.

Hasilnya, Radzhi menang besar dengan majoriti 10,323 undi. Radzhi mendapat 17,836 mengalahkan calon BN S Ananthan yang mendapat 7,513 undi.

Di samping kerana kekuatan jentera PAS, faktor penting terhadap kemenangan itu ialah kerana komposisi bukan Melayu yang besar, iaitu 53 peratus.

Penolakan bukan Melayu terhadap BN adalah kuat. Di kalangan 47 peratus pengundi Melayu pula, ramai yang terdorong dengan sentimen kemelayuan kerana lawan Radzhi adalah dari MIC.

Kemenangan besar itu langsung tidak disebabkan oleh faktor calon kerana Radzhi yang berasal dari Hutan Kampung, Alor Setar menetap di Jitra. Dia tidak dikenali di Lunas sehinggalah posternya tertampal selepas hari penamaan calon.

Untungnya Adun Lunas situ ialah kerana dia adalah satu-satunya calon Melayu dari KeADILan yang menang di DUN. Di mana baik buruk pertimbangan pun, dialah yang paling layak menjadi Exco kerajaan negeri Kedah mewakili KeADILan.

Dengan kemenangan besar itu juga mungkin menjadi faktor untuk Radzhi merasakan Lunas kawasan yang selamat, lantas dia sendiri (boleh dianggap) mengabaikan terus servis terhadap pengundi Lunas. Dia jarang turun ke Lunas, seminggu sekali pun sukar.

Di sana-sini penduduk merungut tidak pernah nampak batang hidung YB. Dengan pihak parti, Radzhi tidak begitu memberi wala'. Dia menjadi terasing dengan pihak perhubungan sendiri.

Kepimpinan KeADILan negeri juga tertekan dengan sikap Radzhi, tapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Terdapat tanggapan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah alat BN. SPRM cergas bertindak terhadap YB-YB Pakatan di Selangor dan Perak.

Dua Adun Perak dari Pakatan (sekarang jadi penyokong BN) berjaya diseret ke mahkamah kerana didakwa terbabit kes rasuah. Sama ada betul dakwaan rasuah atau konspirasi, ia mencemaskan kerajaan Pakatan.

Lantas di Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abd Razak sangat menekankan soal integriti di kalangan Adun, lebih-lebih lagi Exco kerajaan negeri.

Sebagaimana isu rasuah tidak pernah terpalit terhadap kerajaan PAS Kelantan dan kerajaan PAS Terengganu (1999-2004), maka begitulah Azizan mahu kerajaan Kedah di bawah pimpinannya.

Rekod bersih yang diharapkan tiba-tiba semacam mahu tercalar apabila semua media di negara ini melaporkan kononnya seorang Exco kerajaan negeri Kedah disiasat SPRM.

Exco tersebut adalah Radzhi!

Kini setelah Radzhi berada di pihak BN, kita mungkin boleh mengagak berapa ratus tahun masa yang diperlukan SPRM untuk menyelesaikan siasatan isu dakwaan penyelewengannya dalam tuntutan.

Apa yang hendak dijelaskan dalam catatan kali ini ialah perihal Adun Lunas tersebut adalah seorang bermasalah dan sering 'memeningkan kepala' pemimpin Pakatan Kedah.

Maka pengisytiharannya keluar parti dan menyokong BN, dapat merongkaikan sebahagian besar masalah dalam Pakatan. Saya hanya menyentuh persoalan politik dan integriti tanpa menyebut langsung isu-isu peribadi yang sebenarnya turut memberi masalah imej kepada Pakatan.

Di Perak, tiga Adun melompat satu negara jadi kecoh. Tetapi di Kedah, seorang Adun melompat tetapi keadaan semakin tenang. Setenang Ramadan.

No comments

Powered by Blogger.