Sultan Selangor Lancar E-Fitrah

KUALA LANGAT, 1 Sept - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melancarkan kemudahan membayar zakat fitrah melalui internet, E-Fitrah di Masjid Al-Ihsan, Kuala Langat, petang tadi.

Ia merupakan kemudahan kedua yang disediakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas pembayaran zakat firah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada tahun lepas.

E-Fitrah diperkenalkan selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pembayar zakat fitrah yang menggunakan perbankan internet pada tahun lepas.

Para pembayar boleh membuat pembayaran melalui laman web www.ezakat.com.my/ezakatpay.

Selain itu, E-Fitrah juga turut ditawarkan oleh empat bank iaitu Malayan Banking Bhd, CIMB Bank Malaysia Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd dan Public Bank Bhd di mana pelanggan boleh melayari laman web bank berkenaan untuk membuat pembayaran.

Perkhidmatan yang diberikan kepada orang ramai adalah percuma manakala resit pembayaran akan diposkan dalam tempoh 14 hari waktu bekerja.

Pada majlis sama baginda turut berkenan menyampaikan bantuan zakat kepada 200 orang fakir dan miskin dari sekitar Kuala Langat.

Turut menerima bantuan pada majlis itu ialah 100 mualaf yang menerima RM200 setiap seorang dan 100 anak-anak yatim yang menerima RM100 setiap seorang.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud, Pengerusi MAIS, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

No comments

Powered by Blogger.