‘Sweeping Malaysia’ ; MPMN Hantar Memorandum Bantahan

http://buletinonline.net/images/stories/berita10/mpmn.jpg

KUALA LUMPUR - Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) hari ini, 14 September, 2009, telah menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Indonesia bagi menyuarakan suara mahasiswa berhubung isu ‘Ganyang Malaysia’ serta yang terbaru ‘ Sweeping Malaysia’ yang berlaku baru-baru ini.

Memorandum itu diserahkan kepada kepada Setiausaha Ketiga, Bahagian Penerangan, Sosial dan Budaya Indonesia, Soneta Asmara oleh wakil MPMN yang diketuai Pengerusinya, Mohd Ridhuan Mohammad (Gambar).

Pertemuan antara Mohd Ridhuan bersama Timbalan Pengerusi MPMN, Hisyamuddin Che Ali dengan pihak kedutaan itu berlangsung kira-kira 20 minit.

Dalam kenyataan rasmi selepas menghantar memorandum tersebut, Mohd Ridhuan berkata MPMN terpanggil untuk menyatakan rasa keluh kesah penduduk negara ini terutamanya mahasiswa Malaysia di Indonesia yang terancam dengan isu ini.

Menurut Ridhuan lagi, MPMN mengambil tindakan menghantar memorandum bantahan itu berikutan tindakan ekstrim sekumpulan 50 anggota Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) bersenjatakan buluh runcing membuat sekatan di Jalan Diponegoro untuk mengancam rakyat Malaysia kerana tidak berpuas hati berhubung isu tarian Pendet, Selasa lalu.

Katanya lagi bahawa Indonesia perlu mengambil tindakan segera termasuk menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dan bertanggungjawab melakukan provokasi terbuka yang menjadi punca kepada keadaan tersebut.

“Dalam memorandum itu juga, kita turut meminta agar pihak Malaysia dan Indonesia duduk dalam satu meja rundingan dan tidak membiarkan isu menjadi bom jangka yang akan menyusahkan generasi akan datang”,ujarnya.

Sementara itu menurut Timbalan Pengerusi MPMN, Hisyamuddin Che Ali yang turut hadir dalam kenyataannya menyebut bahawa pihak Kedutaan Indonesia telah menyambut baik wakil MPMN dalam menyuarakan isu tersebut.

“ Pihak Kedutaan ada menerima cadangan kami dan sebagai mahasiswa, kami melihat cara diplomasi adalah cara yang paling efisien berbanding demontrasi jalanan yang hanya beralaskan emosi semata-mata,’’ ujarnya merujuk kepada tindakan mahasiswa Indonesia yang berdemontrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta dan membakar bendera Malaysia minggu lalu.

Berhubung kandungan memorandum itu, Hisyamuddin berkata, pihaknya telah menggariskan enam tuntutan perhatian pihak Kedutaan Indonesia.

Antaranya ujarnya adalah berkaitan dengan tuntutan meminta pihak Malaysia dan Indonesia duduk semeja berbincang isu-isu tertunggak, kerajaan Indonesia perlu bertegas dalam menjaga keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia serta sikap media Indonesia yang perlu berhemah dalam melaporkan sesuatu isu.

Hisyamuddin menambah, bagi tuntutan keempat, MPMN meminta semua pihak menghormati antara satu sama lain terutamanya pemimpin islam dan melayu, mennjaga keselamatan mahasiswa Malaysia di Indonesia dan juga mengadakan perbincangan dua hala bagi kebaikan bersama.

Katanya, perbincangan dua hala itu boleh diadakan dalam bentuk forum dan dialog terbuka yang melibatkan golongan cendiakawan, pakar perundangan, golongan bisnes, NGO termasuk mahasiswa sendiri.

"Ini adalah penting bagi mencari titik pertemuan dan di peringkat mahasiswa, kami (MPMN) akan berbincang dengan wakil Persatuan Mahasiswa Indonesia (PMI) yang berada di Malaysia bagi menyelami punca perselisihan secara intelektual dan fakta" katanya.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan kebimbangan Malaysia m terhadap keselamatan rakyatnya di Indonesia termasuk kira-kira 5,600 pelajar perubatan, kedoktoran dan pergigian di samping ribuan profesional yang bekerja di republik itu, yang terdedah kepada ancaman golongan itu yang menggunakan slogan 'ganyang Malaysia' dan mengakui mempunyai ilmu kebal

No comments

Powered by Blogger.